Home Berita PAS Terengganu

Tiada lagi kubu kuat UMNO di Terengganu

34
SHARE

KEMAMAN – Ahli Dewan Undangan Negeri Kijal, Datuk Razali Idris, menegaskan bahawa kubu kuat UMNO di Terengganu kini semakin hilang, terutama di Parlimen Kemaman yang sebelum ini terkenal sebagai benteng kuat Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, pada Pilihan Raya Umum yang lalu, PAS Negeri Terengganu meraih kemenangan besar dengan memenangi kesemua 32 Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 8 kerusi Parlimen.

Katanya, kejayaan itu dianggap sebagai anugerah daripada Allah SWT yang perlu dipertahankan dengan penuh keazaman.

“Walaupun tiada pembangkang rasmi dalam DUN Terengganu namun sistem semak dan imbang tetap berjalan dengan lancar.

“Ia melalui perbincangan dan percanggahan pandangan di kalangan wakil rakyat kerajaan sendiri demi memastikan pentadbiran berjalan secara berkesan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Himpunan Teguh Memimpin Terengganu (TMT 1.0) di Padang Astaka, Cukai, Kemaman, semalam.

Razali mengakui terdapat beberapa kawasan yang sukar untuk dipertahankan seperti Seberang Takir, Telemong, Permaisuri dan Hulu Besut.

“Namun saya percaya dengan usaha dan perpaduan yang berterusan, kelima-lima kerusi tersebut akan dapat dipertahankan pada Pilihan Raya Umum Ke-16 nanti.

“Saya menegaskan bahawa pentingnya wakil rakyat Bersatu untuk bekerjasama rapat dengan pimpinan PAS di semua peringkat bagi memastikan kemenangan dan kesinambungan kepimpinan di Terengganu,” ujarnya.