Home Berita PAS Selangor

Tiada lagi alasan kita untuk menolak vaksin – Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor

115
SHARE

May be an image of text

“Bingkisan Rida’ Di Bahu” | Dewan Ulama PAS Selangor

Oleh : Umar Al-Hayawi

Shah Alam | Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor (DUPNS) menyeru agar semua rakyat Malaysia menyokong sepenuhnya Program Imunisasi Kebangsaan Covid-19 (PICK) ini bagi mendepani wabak tersebut dan untuk kebaikan sejagat.

Menurut sumber DUPNS, semua hujah dari hukum syarak dalam keharusan penggunaan vaksin telah diberikan oleh Mufti dan Majlis Fatwa Kebangsaan malahan ulamak antarabangsa. Semua hujah dari aspek perubatan juga telah pun diberikan oleh Pakar Perubatan dan Kementerian Kesihatan.

Maka, tiada lagi alasan yang kukuh untuk kita menolak vaksin. Bukankah mencegah lebih baik dari merawat? Tinggal lagi mungkin ada kebimbangan dan kerisauan dalam masyarakat hasil dari hujah separuh masak, malahan hujah yang tidak tepat yang disebarkan oleh pihak tertentu.

Para alim Ulamak antarabanga dan ulamak tempatan pun mengambil vaksin. Sheikh Yusuf Al-Qaradawi, Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang, Dr Zulkefli al-Bakri, Tuan Guru Hj Abdullah bin Lebai Samah, Pondok Bukit Lada Pokok Sena Kedah dan lain-lain semuanya telah mengambil vaksin.

“Sebahagian besar EXCO DUPNS pun telah menerima suntikan pertama dan sebahagiannya sedang menanti tarikh temujanji. Alhamdulillah” menurut kenyataan DUPNS.

Justeru, sesiapa yang masih belum mendaftar, daftarlah segera. Bagi yang sudah mendaftar, bersabarlah menunggu tarikh temujanji. Mudahan kita semua sentiasa dalam pemeliharaan Allah.

Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor