Home Kenyataan Media PAS Johor

Tiada keperluan mendesak segera PRU15

100
SHARE

Firman Allah S.W.T :

اِنَّ اللّٰهَ يَأْمُرُكُمْ اَنْ تُؤَدُّوا الْاَمٰنٰتِ اِلٰٓى اَهْلِهَاۙ وَاِذَا حَكَمْتُمْ بَيْنَ النَّاسِ اَنْ تَحْكُمُوْا بِالْعَدْلِ ۗ اِنَّ اللّٰهَ نِعِمَّا يَعِظُكُمْ بِهٖ ۗ اِنَّ اللّٰهَ كَانَ سَمِيْعًاۢ بَصِيْرًا.

Mafhumnya : “Sesungguhnya, Allah menyuruh kamu menunaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan apabila kamu menetapkan hukum di antara manusia hendaknya kamu menetapkannya dengan adil. Sesungguhnya, Allah sebaik-baik yang memberi pengajaran kepadamu. Sesungguhnya, Allah Maha Mendengar Lagi Maha Melihat”.

Surah An-Nisa : 58

PAS Johor berdiri teguh dan menyokong penuh gesaan Ketua Penerangannya menolak cadangan untuk menyegerakan Pilihanraya Umum ke-15 dan mencadangkan agar pihak yang berpandangan sedemikian perlu mengimbas dan membuat penilaian tahap kebersediaan rakyat untuk menghadapi PRU 15 memandangkan negara belum keluar sepenuhnya daripada kesan pandemik covid 19.

Dalam suasana rakyat yang sedang dihimpit oleh kenaikan harga barangan keperluan, adalah tidak wajar untuk diadakan PRU 15 yang pastinya akan memakan kos yang tinggi. Adalah lebih baik kos itu digunakan untuk meringankan bebanan rakyat.

PAS Johor sekali lagi mengajak pemimpin politik di semua peringkat agar dapat sama-sama duduk berbincang secara berdiplomasi demi maslahah dan kepentingan rakyat keseluruhannya.

Perebutan kuasa bukanlah fokus utama. Penilaian perlu dibuat untuk memastikan sejauh mana tanggungjawab dan amanah yang dipikul telah dilaksanakan dengan penuh berintegriti dan kesedaran.

Suatu penyelesaian yang ingin diketengahkan perlulah tidak berkemungkinan memberikan mudarat yang lebih besar apatah lagi jika ianya menimbulkan kecelaruan dan boleh disalahtafsirkan untuk kepentingan peribadi dan kumpulan tertentu.

Berikanlah kepercayaan kepada YAB Perdana Menteri dan barisan kabinet yang ada untuk mengurus tadbir negara tanpa campur tangan pihak lain. Semoga Keluarga Malaysia tercinta akan terus maju dan makmur.

‘Islam Menyatukan Ummah’

Abu Irfan Muhammad Al-Urduni,
Ketua Penerangan PAS Johor.

13 Zulkaedah 1443
13 Jun 2022

#IslamRahmatUntukSemua
#KeluargaMalaysiaTercinta