Home Berita PAS Terengganu

Tiada Cermin Di Kediaman PMX Atau Sirna Sudah Akal Yang Waras

55
SHARE

Oleh: Dr Riduan Mohamad Nor.

Wejangannya memukau anak- anak muda yang tak pernah tersentuh dengan sejarah gerakan reformasi 1998. Apabila dia menghina sosok sang alim negara ini maka disambut deraian tepukan dan siulan anak- anak muda kail panjang sejengkal malam kelmarin . Kerap kali aku terperasan dia merendahkan serban dan jubah sejak menaiki takah kuasa di Putrajaya dalam mana- mana himpunan. Tak mampu lagi dia menyembunyikan kejengkelan kepada ulama panutan ummat, bahkan kepada kelompok agamawan yang menegur beliau . Ayat- ayat Al Quran beberapa kerat dihafalnya semenjak zaman memimpin belia Islam dalam dekad 70an akan dimadukan setiap kali merasmikan hari- hari kebesaran Islam dengan sengau suara khasnya.

Tak semena mena kali ini mantan banduan dua kali ini ingin mengajar tuan guru tentang adab dan akhlak . Sang orator dengan nilai pencapaian nol kepada tanah watan ini terlupa akan bagasi sejarah hidupnya sendiri yang sentiasa meratib dipentas ceramah dengan carutan dan maki hamun seperti perkataan bodoh, bangang, kaki sakau, dan lain – lain konotasi negatif. Untungnya sosok ini kerana beliau tetap mempunyai pentaksub ,malah pernah ditabalkan sebagai imam mekdi!. Penyakit suka berbohong dan menipu sudah sebati dengan sengau alunan pidato mantan pelajar Pengajian Melayu University Malaya ini. Internet merakam pelbagai aksi dan gelagat pidato beliau sebelum mendapat sentuhan kuasa.

Jauh panggang daripada api untuk membandingkan beliau dengan sosok tubuh yang berjasa dalam gerakan Islam dalam dan luar negara , Tuan Guru Haji Abdul Hadi . Mulai fajar sehingga malam melabuh tirai, tak sama rutin kedua figura ini. Tuan guru walau sedikit keuzuran dan rakyat terbanyak mendoakan ilmuan ini agar sembuh untuk terus menebarkan ilmu dan memimpin ummat. Beliau berusaha menghadiri pelbagai program, termasuk minggu lepas dalam Muktamar Tahunan PAS Pusat, juga Dewan- Dewan . Ilmunya tersebar keseluruh negara,juga keseluruh buana terutama kuliah maya daripada Masjid Rusila setiap hari Jumaat.

Tuan guru dengan sikap pemaaf dan tak peduli akan kecaman para pembenci termasuk PMX terus bergerak kemana sahaja, turut diheret jasadnya, sekali dengan ilmu yang akan keluar daripada akal dan mulutnya. Masa lapangnya dipadatkan untuk menulis buku dan membaca. Hampir seratus buah buku yang telah ditulis termasuk dalam bahasa Arab, satu pencapaian besar sebagai ilmuan dan mufakkir Islam . Aku pernah menjadi saksimata bagaimana tekunnya sang ulama ini menulis dan melakar aksara walau dalam ruang masa terbatas. Dalam satu pemusafiran ke Afrika Utara bersama beliau sembilan tahun lepas, dimanfaatkan setiap masanya didalam penerbangan untuk menulis. Tiada masa untuk membaca novel bernuansa semi lucah, berjoget seperti hero Tamil, berkaroke, melayan busking dengan hilaian tawa sang pengampu. Apatah lagi menyalami perempuan bukan muhrim, hidup tak terpandu dengan bimbingan syariat!.

Tuan guru dalam pemusafiran darat dan udara sentiasa mengumam ayat- ayat Allah. Menasbih Tuhan , jarang berbual kosong atau mengumbar manusia lain. Tidak pelik akalnya tajam mengingat fakta dan analisa kerana beliau merencah kehidupannya dengan membaca dan menulis. Penulis ialah insan yang lumayan pahala kata Buya Hamka, saat sang penulis tidur sekali pun, pahala tetap mengalir. Bahan penulisan akan kekal dibaca dan menjadi rujukan daripada satu generasi ke satu generasi yang lain. Tuan guru menjaga perutnya daripada sentiasa sendawa kekenyangan, murabbi ini melazimi puasa sunat. Dalam usrah serta tamrin pimpinan sentiasa diingatkan agar tidak menumpuk harta. Tiada istilah membina kroni capitalism walau pernah menjawat jawatan sebagai Menteri Besar. Ironi sekali dengan mantan banduan terhormat yang mengistiharkan ada jutaan aset walau pernah mendekam dalam penjara!.

Sepatutnya PMX perlu dan patut belajar daripada Ayah Chik, pertama ialah, bagaimana masa dan kehidupan perlu diuruskan dengan sebaik mungkin kerana masa kehidupan adalah modal yang akan dipertanggungjawabkan dihadapan Allah. Seorang PMX , atau seorang ulama yang tetap mempunyai masa yang sama dalam sehari, namun bagaimana untuk menguruskan masa semoga menjadi ketulan zamrud yang bermanfaat kepada ummat. Tak rasa bersalahkah Anwar menyekat wang royalti rakyat Terengganu? Juga peruntukan kepada seluruh MP pembangkang?. PMX hanya menang dalam retorika wejangannya namun tak menunaikan janji- janji sebelum berkuasa. Rakyat negara ini semakin hanyut dalam budaya seronok santai, berselimut hedonism, malah fahaman liberal dan pluralism agama semakin menggebu semenjak zaman Anwar memimpin.

Sejujurnya, Anwar wajib melihat cermin serta introspeksi , bermuhasabah akan perjalanan karier politiknya yang berlaku. Kemana perginya teman- teman rapat Anwar?, jika beliau insan yang menjunjung prinsip kesalihan siasah maka rasanya teman aktivis seperti Dr Chandra Muzaffar, Ezam Mohd Nor, Arwah Dr Sidek Baba, Ustaz Ismail Mina, Hisham Rais, Tian Chua dan ratusan komrade lain tak akan meninggalkan beliau. Mereka menjarakkan diri dengan Anwar dengan seribu satu cerita antagonist seorang yang mengkhayalkan dirinya pemimpin!

Bagi aku, Ayah Chik mengajar kita semua tentang adab dan akhlak, tentang prinsip kesalihan siasah, juga nilai karomah insaniah. Tuan guru mendidik kita semua agar menakluki setiap detik inci masa dengan kerja bermanfaat,terutama sang pemimpin masyarakat dan organisasi. Mencerahkan akal masyarakat dengan ucapan dan tulisan, menjauhi intriq dan polemik, apatah lagi obses dengan harta benda melalui jawatan yang dipegang. Kepada Anwar, serangkai kata peribumi Kelantan buatmu, ” demo tak kenal barey boh”. Selamat bermuhasabah!.

(Penulis ialah AJK PAS PUSAT, Pengerusi LESTARI)