Home Berita PAS Perak

Tiada bantuan jika padi rosak berpunca benih tidak sah

31
SHARE

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

BAGAN SERAI: Kerajaan tidak akan bertanggungjawab terhadap tanaman padi yang rosak atau musnah sekiranya didapati petani menggunakan benih tidak sah yang diperoleh menerusi sumber tertentu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Industri Makanan, Razman Zakaria, berkata tindakan sesetengah petani yang menggunakan benih padi murah atau tidak sah adalah di luar kawalan pihaknya.

Namun sekiranya berlaku masalah padi rosak seperti serangan penyakit, kerajaan tidak akan bertanggungjawab sepenuhnya dalam soal pampasan.

“Di Perak, bekalan benih padi bagi musim 2/2021 dijamin mencukupi dan boleh dibeli pada bila-bila masa di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).

“Namun tindakan segelintir pesawah yang masih menggunakan benih padi tidak sah yang diperoleh dari sumber tertentu dan di luar pengetahuan kita sebenarnya mengundang pelbagai risiko yang akan dihadapi mereka kelak.

“Justeru itu kerajaan tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang masalah dihadapi mereka sekiranya tanaman padi yang diusahakan rosak atau musnah akibat serangan penyakit,” katanya ditemui media selepas Penyerahan Sumbangan Mangsa Banjir Parlimen Bagan Serai secara pandu lalu oleh PAS Kawasan Bagan Serai di Surau Al-Ansar Alor Pongsu.

Razman berkata, Jabatan Pertanian sentiasa menitik beratkan perkara ini dan sering melakukan pemantauan bagi memastikan tiada pihak tertentu yang mengambil kesempatan menjual benih padi murah dan yang tidak sah kepada pesawah bagi mengelakkan berlakunya masalah berbangkit di kemudian hari.

Beliau berkata, pihaknya juga menasihati dan menyarankan pesawah seluruh Perak agar sentiasa mengikut jadual penanaman padi yang dikeluarkan oleh Jabatan Pertanian bagi memastikan tanaman terhindar dari serangan penyakit dan musuh tanaman.

SUMBER: BERITA HARIAN ONLINE

https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2021/08/857278/tiada-bantuan-jika-padi-rosak-berpunca-benih-tidak-sah