BATU, 15 Mei – Jabatan Pilihanraya PAS Kawasan Batu telah mengadakan majlis kesyukuran di Dewan Orang Ramai Taman Koperasi Polis bagi meraikan jentera PAS Kawasan Batu yang telah bertungkus lumus melaksanakan kerja-kerja sebelum dan semasa PRU14 yang lalu.
Seramai lebih kurang 100 orang petugas telah hadir ke majlis tersebut yang turut diserikan dengan kehadiran para pimpinan antaranya, Yang Dipertua PAS Batu iaitu Ustaz Azhar Yahya, Ustaz Abu Bakar bin Abd Rahman Pengarah JPRK Batu, Yang Dipertua PAS Kepong Hj Amran bin Abdul Majid dan Puan Salbiah binti Abd Wahab selaku Ketua Dewan Muslimat PAS Batu.
Memetik surah At Taubah ayat ke 42, Ustaz Azhar berpesan, “Perjuangan kita masih jauh namun berada dalam jadual yang telah ditentukan oleh Allah SWT. Walaupun calon kita sudah terbaik, jentera sudah terbaik dan gerak kerja juga terbaik, tetapi masyarakat masih termakan dengan politik persepsi dan fitnah.”
Beliau turut menyeru agar ahli PAS Batu tetap istiqomah dan mempersiapkan saf untuk menerima kemenangan yang akan datang.
Ustaz Abu Bakar selaku Pengarah Jabatan Pilihanraya PAS Kawasan Batu pula menggesa agar para ahli berusaha untuk menambahkan lagi cawangan – cawangan PAS di kawasan Batu.
“Kita juga perlu meningkatkan gerak kerja kebajikan dan dakwah kepada masyarakat. Ini seiring dengan hasrat kita untuk menubuhkan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) di kawasan Batu yang terdiri daripada pelbagai kaum,” ujar beliau lagi.
Turut menyampaikan ucapan ialah Puan Hajah Salbiah binti Abd Wahab yang juga Pengarah Majlis Kesyukuran ini.
Puan Salbiah mengingatkan para ahli PAS Batu agar bersyukur dengan apa yang dicapai setakat ini.
“Walaupun kita kalah, kita tidak mengungkit, tidak menyalahkan orang lain bahkan kita bersyukur kepada Allah SWT kerana kita masih bersatu,” sambung beliau lagi.
“Sempena Ramadhan yang bakal tiba marilah kita kurangkan juadah, banyakkan bersedeqah dan tingkatkan ibadah,” pesan Puan Salbiah di akhir ucapan beliau.
Pimpinan PAS Kawasan Batu mengucapkan jutaan terima kasih kepada seluruh jentera PAS Kawasan Batu dan Kepong yang turut berkorban masa, tenaga dan wang bagi menjayakan segala gerak kerja PRU14 yang lalu.
Semoga segala usaha itu mendapat ganjaran dari Allah SWT.