Home Berita PAS Terengganu

TESDEC Perkasa Pendidikan Kemahiran dan Keusahawanan Berteraskan Islam

8
SHARE

KUALA TERENGGANU – Terengganu Skills Development Centre Berhad (TESDEC) terus komited dalam membangunkan kemahiran anak-anak muda dan belia lepasan sekolah dengan pendekatan menyeluruh, tanpa mengabaikan asas pengajian Islam.

Ketua Pegawai Eksekutif TESDEC Berhad, Mohd Iskandar Muhammad Aziz berkata, dalam usaha ini, subjek pengajian Islam telah dijadikan subjek umum di TESDEC, sejajar dengan keperluan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT).

“Malah Kolej TESDEC juga menawarkan Diploma Pelancongan (Haji dan Umrah) kepada lepasan Sijil pelajaran Malaysia (SPM) dan pengajian Islam menjadi sebahagian subjek teras khususnya dalam hal ehwal haji dan umrah (fiqh lelaki dan wanita),” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Memorandum Perjanjian Persefahaman Tenaga Hijau Dan Efficiency Management Di Antara TESDEC Services Sdn.Bhd. dengan Alka System Sdn.Bhd di Permai Hotel pada semalam.

Menurutnya, pihak TESDEC kini sedang menjalinkan kerjasama dengan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) bagi menyediakan peluang keusahawanan kepada graduan.

“Kami sedang jalinkan hubungan dengan YPU bagi mencipta nilai kepada lepasan TESDEC supaya kemahiran menjana pendapatan melalui keusahawanan.

“Keusahawanan berasaskan kemahiran ini menjadi pilihan kepadagraduan TESDEC sama ada untuk terus menyertai pasaran kerja dengan bekerja di mana-mana syarikat ataupun industri berkaitan kemahiran mereka.

“Dan juga boleh membuka perniagaan mereka sendiri setelah mendapat khidmat nasihat, latihan dan sokongan dana dari Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) atau pun agensi, badan penajaan, pendanaan keusahawanan seperti MARA, SMECorp, Yayasan Peneraju, dan lain-lain agensi,” tambah  beliau lagi.