Home Rencana PAS Selangor

Terus menyokong acuan perpaduan – Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor

96
SHARE

May be an image of ‎1 person, headscarf and ‎text that says "‎Usaha kerajaan hari ini, menawarkan ruang dan peluang kepada semua pihak agar bekerjasama demi membebaskan rakyat dan negara dari cengkaman pandemik haruslah diambil baik Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor Ustazah Hjh.Wan Hasrina Wan Hassan Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor Dewan Muslimat PASSelangor muکlimat ESSELANGOR LAJDANG &MEDIABAR‎"‎‎

Dari Tirai Dewan Muslimat PAS Selangor | Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor

Oleh : Wan Hasrina Wan Hassan
Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor

Begitu jelas dan tuntas kenyataan Yang Berhormat Datuk Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam laman sosial beliau bertarikh 15 Ogos 2021 kelmarin. Kupasan yang sewajarnya dapat membuka mata dan hati orang-orang yang inginkan Islam sebagai penyelesaian. Telah ada dalam rakaman Sirah Nabawiyah, bagaimana Islam menyelesaikan isu-isu penyatuan dan perpaduan dalam kalangan masyarakat dan politik yang majmuk. Inilah sumber panduan dan rujukan untuk kita menyelesaikan suasana politik tidak stabil dalam negara masa kini.

Seruan Bapa Perpaduan Ummah ini adalah suatu seruan yang perlu dihayati dan dillaksanakan oleh semua peringkat samada pemimpin ataupun rakyat. Seorang pemimpin, harus bijaksana dalam mengemudi bahtera perjuangan ketika arus yang tenang apatahlah lagi bergelombang. Muafakat dan penyatuan akan mengenepikan keakuan yang tidak bertempat serta rakusnya kaedah yang tidak menghalalkan matlamat. Rakyat sebagai pengikut, harus sedar dan celik untuk memastikan tidak terjebak bersama dengan pemimpin yang mengemudi bahtera dengan segala tamak haloba.

Begitu berat tanggung jawab Perdana Menteri bersama kabinetnya dalam usaha menyelamatkan lebih ramai nyawa menjadi mangsa korban. Perjuangan ini bukan mudah dan bukan sekadar menjadi sejarah perjuangan Malaysia, namun menjadi sejarah dunia yang berhadapan dengan krisis wabak ini. Usaha melalui program vaksinasi ini telah menampakkan hasilnya dengan data penurunan kes-kes serta diakui oleh frontliners di wad-wad kecemasan. Namun masih belum sampai ke kemuncak kejayaan yang sebenar. Kita masih berusaha untuk menang dan terus menang. Maka kerjasama di atas dasar kemanusiaan ini perlu didokong oleh semua pemimpin kerana ianya adalah isu keselamatan nyawa rakyat bersama. Tidak wajar ada usaha lain yang mengganggu usaha utama untuk menang melawan Covid-19.

Perbezaan parti politik sehingga tahap rasis ketika ini bukanlah suatu yang tepat pada masanya meskipun diakui ada perjuangan mencapai dasar dan polisi masing-masing. Kerajaan hari ini bersama rakyat sangat sarat dengan tanggungjawab menjaga keselamatan nyawa dan memastikan ada keupayaan berbelanja demi kelangsungan hidup. Jangan ditambah bebanan sedia ada dengan suatu fenomena yang mengheret rakyat ke arah lebih tertekan pada ketika dan masa yang tidak sesuai ini. Utamakanlah rakyat dan tangguhkanlah pergeseran politik ke suatu masa yang benar-benar selamat dan sihat untuk semua.

Pemimpin yang bijak bukanlah pemimpin yang mengutamakan pencapaian peribadi dengan menggadaikan keselamatan rakyat. Usaha kerajaan hari ini dalam menawarkan ruang dan peluang kepada semua pihak untuk bekerjasama membebaskan negara dan rakyat dalam cengkaman pandemik adalah suatu tindakan yang perlu disambut baik. Berjiwa besarlah dalam usaha ini demi kepentingan bersama.

Marilah semua pihak memaknai erti SABAR dalam suasana negara ketika ini dengan menghayati sabda Rasulullah SAW :

‌مَثَلُ ‌القَائِمِ ‌فِي ‌حُدُودِ ‌اللهِ وَالوَاقعِ فِيهَا، كَمَثَلِ قَومٍ اسْتَهَمُوا عَلَى سَفِينَةٍ فَصَارَ بَعْضُهُمْ أعْلاهَا وَبَعْضُهُمْ أَسْفَلَهَا، وَكَانَ الَّذِينَ في أَسْفَلِهَا إِذَا اسْتَقَوا مِنَ المَاءِ مَرُّوا عَلَى مَنْ فَوْقهُمْ، فَقَالُوا: لَوْ أنَّا خَرَقْنَا في نَصِيبِنَا خَرْقًا وَلَمْ نُؤذِ مَنْ فَوقَنَا، فَإِنْ تَرَكُوهُمْ وَمَا أرَادُوا هَلَكُوا جَميعًا، وَإنْ أخَذُوا عَلَى أَيدِيهِمْ نَجَوا وَنَجَوْا جَميعًا.

“Bandingan mereka yang ditetapkan menjadi pihak yang berkuasa menegakkan sempadan Allah (pemerintah) dan kalangan mereka yang melanggar sempadannya (menentangnya) laksana mereka yang diatur dalam sebuah bahtera (kapal). Ada yang berada di bahagian atas dan ada yang berada di bahagian bawah. Tiba-tiba, mereka yang berada di bawah itu mahukan air dengan segera, terpaksa melalui mereka yang berada di atas. Lalu mereka yang berada di bawah pun berkata: ‘Bagaimana jika kita tebuk sahaja kapal ini (untuk dapatkan air dengan segera) tanpa peduli terhadap mereka yang berada di atas kerana tidak mahu mengganggu mereka.’ Sekiranya dibiarkan mereka itu bertindak mengikut kehendaknya, nescaya semuanya akan binasa (tenggelam kapal). Jika dihalang kehendak itu, nescaya semuanya akan selamat.” (Riwayat al-Bukhari 2493)

Sambutan dinanti Hari Kebangsaan,
Hayati seruan Prihatin Malaysia,
Mencetak perpaduan telah ada acuan,
Akibat rakus rakyat dan negara menjadi mangsa.

16 Ogos 2021| 7 Muharram 1443H

Lajnah Penerangan & Media Baru
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor