Home Berita PAS Terengganu

Terpilih pengunjung ke setengah juta, Suriani bawa pulang jongkong emas bernilai RM15 ribu

26
SHARE

KUALA TERENGGANU – Tuah ayam nampak di kaki, tuah orang siapa yang tahu.

Itu gambaran kepada Suriani Sulleh yang terpilih sebagai pemenang hadiah utama bagi pelawat Jambatan Angkat Kuala Terengganu (Drawbridge) ke setengah juta iaitu jongkong emas bernilai RM15 ribu.

Berkongsi cerita, kakitangan swasta berusia 30 tahun yang berasal dari Sabah itu mengetahui namanya terpilih sebagai  pemenang utama selepas menerima panggilan telefon daripada pihak penganjur tiga hari lepas.

Katanya, sewaktu panggilan pertama, dia ditanya jika pernah datang ke Drawbrigde tapi dinafikan kerana terlupa tentang nama dan lokasinya serta bimbang  jika pemanggil adalah ‘scammer’.

“Selepas beberapa minit, saya mendapat panggilan kali kedua dan masa sama kawan saya menunjukkan gambar Drawbridge. Barulah saya teringat dan mengakui bahawa saya pernah pergi ke sana,

“Saya sangat teruja dan tak sangka menjadi individu paling bertuah  dengan hanya satu borang sahaja diisi dia berjaya memperoleh hadiah utama,” ujarnya yang bertuah buat kali kedua apabila menerima hadiahnya daripada Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah  hari ini.

Baginda telah berkenan mencemar duli berangkat ke Kuala Terengganu Drawbridge (KTDB)  dan Majlis Santapan Hi-Tea sekaligus mengurniakan hadiah kepada pemenang Pengunjung Drawbridge Yang Ke Setengah Juta.

Tambah Suriani, ia merupakan saat-saat indah bagi dia dan keluarga kerana lawatan pertamanya ke Jambatan Angkat Kuala Terengganu pada Oktober tahun lepas,  untuk meraikan hari ulang tahun kelahiran anaknya kini membawa pulang satu lagi kenangan abadi yang lebih besar dan bernilai.

Suriani yang bekerja di Seri Kembangan, Selangor itu berkata, buat masa ini, dia bercadang untuk menyimpan bar emas itu sebagai pelaburan pada masa hadapan.

Dalam masa sama, Suriani turut menzahirkan penghargaan kepada TI Properties yang menganjurkan program kepada pelawat yang telah menyokong dan mengunjungi Jambatan Angkat Kuala Terengganu.

Sementara itu, Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc), Burhanuddin Hilmi Mohamed @Harun berkata,  berkata kempen itu bertujuan untuk memperluaskan lagi jenama dan populariti Jambatan Angkat Kuala Terengganu bukan hanya di Terengganu, tetapi juga ke seluruh Malaysia.

“Dengan menawarkan hadiah lumayan, ia dapat menarik perhatian ramai pelawat dari pelbagai negeri untuk mengunjungi mercu tanda ini.

“Kempen ini merupakan penghargaan kepada pelawat yang telah menyokong dan mengunjungi Jambatan Angkat Kuala Terengganu sejak ia mula beroperasi pada 2019,” ujarnya.