Home Berita PAS Terengganu

Ternak lembu tenusu jana pendapatan lumayan

49
SHARE

Oleh:Azhar Yusof
HULU TERENGGANU, 30 Julai
– Usaha seorang lelaki menternak lembu tenusu berbaloi dengan pendapatan sebulan mencecah RM 3,000, apabila susu lembu segar yang dipasarkan mendapat sambutan penduduk sekitar yang mendapat pemintaan tinggi sehingga bekalan tidak mencukupi.

Rosli Mejah, 53, berkata, idea itu datang kerana dia melihat kebanyakan penternak di kampungnya tidak menternak lembu susu sebaliknya lebih kepada ternakan daging.

Dia yang menetap di Kampung Pengkalan Ajal kini mengusahakan lapan ekor lembu tenusu baka Jersey diimport dari Australia selain 30 lembu pedaging.

“Berbekal sedikit modal saya membeli lapan ekor lembu tenusu dengan dibantu sebahagiannya dari Jabatan Veterinar.

Katanya lagi, menternak lembu tenusu memerlukan perhatian lebih dan sistematik kerana haiwan itu tidak selesa jika hidup dalam kandang kotor.

“Kandang perlu dibersihkan setiap hari, begitu juga lembu tidak boleh kotor. Sebab itulah, saya membina lantai simen kukuh dan mudah dibersihkan, sistem longkang dan sistem buangan yang teratur.

“Sebab itulah, saya membina kandang lebih tinggi bagi membolehkan najis mudah dibersihkan,” katanya yang membelanjakan hampir RM30,000 sebagai modal permulaan.

Rosli berkata, proses memerah susu dibuat sekali sehari iaitu pada pagi kerana kegagalan memerah susu akan menyebabkan lembu akan sakit kerana ‘ambing’ susunya membengkak.

“Susu diperah dijual mentah terutama kepada pelanggan dari kampung kerana mampu bertahan tiga jam sebelum basi.

“Lembu tenusu perlu diberi makanan mencukupi termasuk dedak,rumput selain kacang soya untuk mengalakkan pengeluaran susu selain vitamin,” tambah Rosli.

Katanya, ketika ini enam ekor lembu menghasilkan susu 25-30 kilogram sehari dengan secara purata setiap seekor mampu menghasilkan lima hingga sepuluh kilogram susu sehari.

“Susu yang diperah mampu bertahan kira-kira seminggu sekiranya disimpan di tempat sejuk, kalau sejuk beku, tempoh tahan adalah lebih lama.

“Kebiasaan untuk pelanggan yang jauh,susu berkenaan dimasuk ke dalam bekas dan disimpan dalam peti sejuk beku,” katanya.

Menurut Rosli, harga bagi sekilogram susu segar yang dijual adalah RM7.00

Ditanya mengenai harapan akan datang, Rosli berharap agar badan-badan kerajaan berkaitan dapat membantu beliau daripada segi modal membeli lembu.

“Kalau boleh memang sasar nak bela kira-kira 100 ekor lembu dan luaskan pasaran susu ini,” katanya.

Bagi sesiapa yang berminat untuk mendapatkan susu segar dari Rosli, boleh hubungi beliau di talian 011-10948913.