Home Berita PAS Terengganu

Terima amanah dengan penuh rasa tanggungjawab

5
SHARE

KUALA TERENGGANU – Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu yang baharu, Ustaz Hamdi Harun menyatakan bahawa beliau menerima pelantikan tersebut dengan penuh rasa rendah diri, keinsafan dan tawakkal kepada Allah SWT.

Katanya, ia merupakan satu amanah besar yang bukan untuk dibanggakan, sebaliknya satu tanggungjawab yang akan dipersoalkan di hadapan Allah SWT.

“Saya amat menyedari bahawa dalam kalangan Pemuda PAS, terdapat ramai yang lebih layak, lebih berpengalaman dan lebih mantap kepimpinannya.

“Namun apabila keputusan telah dibuat, saya menerimanya sebagai perintah daripada jemaah yang wajib saya tunaikan sebaik mungkin,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau turut mengakui bahawa tugas tersebut amat berat, namun tetap yakin dengan saf kepimpinan Pemuda yang baharu, yang disifatkan sebagai satu bangunan yang tersusun kukuh dan saling menguatkan antara satu sama lain, sebagaimana digambarkan oleh Rasulullah SAW.

Katanya, kekuatan sebenar jemaah bukan terletak kepada individu, tetapi kepada ukhuwah, saling percaya dan amal kolektif.

Beliau turut mengingatkan dirinya dan semua pihak tentang kata-kata agung Saidina Abu Bakar As-Siddiq RA ketika dilantik sebagai khalifah

“Sesungguhnya aku telah dilantik sebagai pemimpin kalian, sedangkan aku bukanlah yang terbaik dalam kalangan kalian. Maka jika aku berlaku baik, bantulah aku dan jika aku melakukan kesilapan, betulkanlah aku.”

Menurutnya, amanah tersebut menuntut seluruh jiwa dan tenaga serta bukan medan untuk bersenang-lenang, tetapi untuk bekerja, membina, membimbing dan berkorban demi Islam.

Sehubungan itu, beliau mengajak seluruh saf Pemuda PAS Negeri, termasuk di peringkat kawasan, cawangan dan akar umbi, untuk terus bergerak sederap, sepakat dalam amal, ikhlas dalam niat serta bersungguh-sungguh dalam gerak kerja.

“Marilah kita sama-sama membina saf Pemuda yang ‘qawiy’, pemuda yang menjadi qudwah kepada masyarakat, beramal dan bukan hanya berkata-kata,

“menjaga wara’ dan disiplin amal Islami, teguh dengan ilmu dan kefahaman yang sahih, dan yang paling utama, yakin dengan janji Allah SWT,” katanya.

Di akhir kenyataan, beliau turut menundukkan hati dengan doa para salafussoleh sebagai renungan terhadap amanah yang dipikul

“Semoga amanah ini menjadi sebab untuk lebih mendekatkan diri kepada Allah SWT dan menatijahkan kejayaan Islam di bumi Terengganu serta tanah air tercinta, “katanya.