HULU TERENGGANU – Kerajaan Negeri Terengganu sedang merangka satu enakmen baharu yang bakal mewajibkan pendaftaran semua haiwan ternakan seperti lembu, kerbau dan kambing menggunakan sistem kod QR, dalam usaha mengatasi isu haiwan berkeliaran yang tidak berkesudahan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim berkata, langkah berani ini perlu diambil setelah lebih 70 tahun masalah ternakan liar gagal diselesaikan.
“Kita lihat masalah yang tidak berkesudahan berkaitan haiwan berkeliaran yang tidak selesai sejak belum merdeka lagi.
“Mungkin kita perlu bertegas dengan menggubal satu enakmen yang mewajibkan pendaftaran semua ternakan, lembu, kerbau, kambing dan haiwan lain,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Program Pelepasan benih ikan , penyerahan bantuan peralatan dan insentif input akuakultur serta pelancaran kajian penandaan peralatan menangkap ikan nelayan darat bertempat di Sungai Terengganu, Kampung Temir, di sini semalam.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Perikanan (DOF) Negeri Terengganu, Pang Nyukang; Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Terengganu, Dr. Sukati Sakka; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Mohd Zawawi Ismail.
Beliau menjelaskan, penggunaan teknologi seperti QR code mampu mengubah sistem pemantauan dan tanggungjawab pemilik ternakan secara total.
“Dengan teknologi zaman ini, semua orang dapat imbas QR.
“Bila kita scan, kita akan dapat tahu siapa pemilik haiwan tersebut.
“Haiwan yang tiada QR code kita ibaratkan seperti kereta tanpa nombor plat, mesti tiada pemilik dan boleh disita atau dilelong,” jelasnya.
Menurut beliau, enakmen baharu ini akan digubal di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan tidak memerlukan kelulusan akta persekutuan.
“Yang ada sekarang ini hanya undang-undang kecil PBT yang benarkan tangkapan haiwan, tapi tidak mewajibkan pendaftaran.
“Kalau ditangkap pun, jika tidak dituntut, kita hanya mampu melelong sahaja,” tambahnya.
Dr. Azman berkata kerajaan negeri kini sedang dalam proses perbincangan menyeluruh termasuk aspek kos dan pemakluman awam sebelum pelaksanaan dimuktamadkan.
“Perkara ini perlu diteliti secara mendalam.
“Perlu ada tempoh pemakluman kepada masyarakat dan melihat pada impak kos,” kata beliau.
Tambah beliau, langkah Terengganu ini tidak asing kerana negeri seperti Melaka telah berjaya melaksanakan sistem penternakan yang jauh lebih tersusun.
“Melaka negeri kecil tapi sangat aktif dan sistematik dalam penternakan, termasuk unggas.
“Kita patut contohi negeri dalam negara sendiri,” ujarnya.