Home Berita PAS Terengganu

Terengganu Tumpuan Dunia Islam, Majlis Syarah Sahih Al-Bukhari Jadi Medan Ilmu Bernilai

1
SHARE

KUALA TERENGGANU – Terengganu terus menjadi tumpuan dunia Islam apabila tokoh ulama yang disegani, Mufti Besar India, Sheikh Abu Bakar Ahmad tampil menyampaikan ilmu dalam Majlis Syarah Sahih Al-Bukhari Darul Iman peringkat negeri sekali gus menjadikan ia medan ilmu yang amat bernilai.

Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Mohd Nor Hamzah, berkata kehadiran tokoh besar dalam majlis ilmu hadis itu akan memperkayakan lagi kefahaman rakyat terhadap sunnah Nabi Muhammad SAW serta menyemarakkan budaya ilmu dalam kalangan umat Islam.

Ujarnya, kitab Sahih Al-Bukhari yang dikarang lebih 1,000 tahun lalu oleh Imam Bukhari menjadi rujukan utama ulama setiap generasi.

“Dengan membacanya pada hari ini, kita sebenarnya sedang menyambung satu rantaian ilmu yang sangat panjang, rantaian yang menghubungkan kita dengan para ulama besar, para tabi’in, bahkan kepada Rasulullah SAW sendiri melalui jalur periwayatan yang sahih.

“Inilah kesinambungan ilmu yang diwariskan sejak berabad-abad, yang bukan sahaja memilihara keaslian ajaran Islam, tetapi juga memastikan bahawa petunjuk dan hikmah sunnah terus hidup dalam masyarakat sepanjang zaman,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Syarahan Sahih Al-Bukhari Darul Iman Negeri Terengganu, di Masjid Abidin, di sini, hari ini.

Mengulas lebih lanjut, beliau berkata kerajaan negeri sentiasa memberi galakan dan sokongan terhadap program-program keagamaan dan ilmu, lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan penghayatan hadis dan amalan sunnah Nabi Muhammad SAW.”Semoga majlis syarahan pada hari ini memberi manfaat kepada kita semua, meningkatkan kefahaman dan penghayatan terhadap hadis-hadis Nabi SAW, serta mendorong kita untuk mengamalkan ajaran Islam dalam kehidupan seharian.

“Terima kasih sekali lagi saya ucapkan kepada Sheikh Abu Bakar Ahmad, Mufti Besar India atas syarahan yang diberikan dan ucapan terima kasih turut saya rakamkan kepada semua yang hadir pada hari ini dan semua pihak yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak dalam menjayakan program pada hari ini,” ujarnya.