Home Berita PAS Terengganu

Terengganu tuan rumah persidangan tenaga bersih bertaraf kebangsaan

57
SHARE

KUALA TERENGGANU – Terengganu bakal mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju tenaga bersih negara apabila menjadi tuan rumah East Coast Energy (ECE) 2025.

Program itu merupakan sebuah persidangan dan pameran peralihan tenaga utama yang akan berlangsung pada 23 sehingga 24 Jun 2025 di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI), Kuala Terengganu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad, Dr. Ts. Muhtar Suhaili berkata, program itu melibatkan kerjasama pelbagai pihak dari sektor awam dan swasta.

“Ia adalah persidangan dan pameran yang melibatkan delegasi-delegasi bukan sahaja daripada Malaysia malah dari luar negara.

“Kita ada beberapa rakan-rakan strategik yang banyak memebantu bagi menjayakan program ini. Antaranya ialah Terengganu Inc. selaku rakan strategik utama dan EPIC Berhad sebagai rakan korporat.

“Yang paling penting, kita juga mendapat sokongan dan dorongan yang penuh daripada Petronas selaku rakan ilmu atau rakan kepakaran,” katanya.

Dr. Muhtar berkata demikian dalam satu sesi wawancara Bicara Khas TV Darul Iman, semalam.

Turut hadir, Ahli Jawatankuasa Pemandu Program ECE 2025, Mohd Zamri Abdul Ghani yang juga merupakan Ketua Kualiti dan Jaminan (Kualiti Perusahaan), Penyampaian Projek dan Teknologi, PETRONAS Carigali Sdn. Bhd.

Beliau yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kerja bagi program ECE 2025 menjelaskan bahawa penganjuran itu diusahakan oleh kerajaan negeri dan Terengganu Petroleum Council (TPC) dengan kerjasama bersama Informa Markets.

“Informa Markets terkenal dengan penganjuran-penganjuran persidangan minyak dan gas termasuklah program utama di Malaysia yang dipanggil sebagai OGA atau ‘Oil And Gas Asia’.

“Penganjuran bersama ini untuk memastikan perlaksanaan program dapat dilaksanakan secara profesional dan dapat dianjurkan dengan baik,” tambahnya.

Dr. Ts. Muhtar Suhaili (Kiri) dan Mohd Zamri Abdul Ghani (Kanan)

Selain itu jelasnya, beberapa pertubuhan lain turut terlibat, bertindak sebagai organisasi sokongan bagi membantu melaksanakan program tersebut.

“Antaranya, Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), Malaysian Petroleum Resources Council (MPRC) satu agensi di bawah Kementerian Ekonomi, Terengganu Oil And Gas Council (TOGC).

“Dan ini juga termasuk beberapa lagi persatuan utama minyak dan gas serta tenaga boleh diperbaharui di Malaysia,” katanya.

Menurutnya lagi, program yang sedemikian merupakan kali pertama bagi negeri Terengganu walaupun telah biasa dijalankan di negeri-negeri lain seperti Sabah dan Sarawak.

Ujar beliau, di bawah tema ‘Inovasi Tenaga, Memacu Pantai Timur’, program yang telah bermula perancangannya dari tahun lepas itu turut telah berjaya mencuri perhatian delegasi-delegasi daripada luar serta dalam negara dengan bilangan penyertaan yang amat menggalakkan.

“Penyertaan saya dimaklumkan setakat mesyuarat yang lepas, kita sudah ada sekitar 700 orang delegasi dan mungkin akan lebih lagi menjelang 23 dan 24 Jun nanti,” ujarnya.