Home Berita PAS Terengganu

Terengganu tuan rumah persidangan biodiversiti hutan pertama di Malaysia

2
SHARE

KUALA TERENGGANU – Negeri Terengganu telah diberi penghormatan menjadi tuan rumah buat julung kalinya dalam sejarah penganjuran ekspedisi saintifik biodiversiti hutan sejak tahun 1999.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, Persidangan Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan Tahun 2025 kali ini merupakan persidangan pertama yang dilangsungkan dalam bentuk persidangan penuh.

Beliau menyifatkan penganjuran persidangan ini sebagai satu pencapaian yang besar buat Terengganu serta pemilihan lokasi persidangan yang mencerminkan kepelbagaian biodiversiti di negeri itu.

“Alhamdulillah, pada hari ini Terengganu dipertuankan sebagai yang pertama dalam penganjuran persidangan ini di Malaysia. Sebelum ini ianya hanya dianjurkan dalam bentuk seminar dan bengkel.

“Pemilihan negeri Terengganu sebagai lokasi penganjuran Persidangan Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan Tahun 2025 amatlah bertepatan memandangkan Terengganu bukan sahaja kaya dengan kepelbagaian biodiversiti hutan daripada kategori hutan tanah pamah hingga hutan pergunungan, hutan paya laut dan tanah bencah.

“Malah, (Terengganu) turut mempunyai kepelbagaian biodiversiti marin yang dilindungi melalui pewartaan Taman Laut Malaysia di sekitar pulau-pulau utama seperti Pulau Redang, Pulau Perhentian dan Pulau Kapas,” katanya.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Dato’ Zahari Ibrahim, Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu, Dato’ Norhaidi Yunus serta Ketua Penyelidik Persidangan Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan, Prof. Emeritus Dato’ Dr. Abdul Latiff Mohamad.

Menurut Razali, persidangan ini juga menyatukan empat negeri yang terlibat dalam siri ekspedisi terdahulu, bagi berkongsi hasil penemuan saintifik spesies-spesies flora dan fauna, termasuk yang jarang ditemui dan masih berjaya dipelihara di kawasan hutan simpan Terengganu.

Mengulas lanjut, beliau berkata usaha bersepadu sedang dilaksanakan melalui pelbagai dasar seperti Dasar Perhutanan Negara 2021, Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan (2022–2030) dan Pelan Tindakan Biodiversiti Negeri Terengganu untuk memastikan kelestarian khazanah semula jadi ini dapat dipertahan.

“Selain mengiktiraf usaha saintifik, persidangan ini juga berperanan memperkukuh dokumentasi biodiversiti serta menyokong pembangunan ekopelancongan yang lestari.

“Saya amat bersyukur empat negeri dapat bergabung dalam persidangan ini dan datang ke negeri Terengganu untuk melihat sendiri spesies-spesies yang agak ‘rare’ yang masih lagi dapat dijaga oleh Jabatan Perhutanan negeri,” ujarnya.

Razali turut menyatakan harapan agar persidangan ini menjadi titik tolak kepada kolaborasi lebih erat antara saintis, agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi dan NGO dalam usaha memelihara biodiversiti hutan tanah air untuk generasi akan datang.

Persidangan Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan Tahun 2025 dijadualkan untuk berlangsung selama tiga hari bermula 4 hingga 6 Ogos 2025 di Raia Hotel & Convention Centre, Kuala Terengganu.