Home Berita PAS Terengganu

Terengganu terus usaha raih emas di SUKMA

33
SHARE

KUCHING – Atlet Terengganu yang beraksi di Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak berada pada tahap terbaik untuk mempersembahkan prestasi masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, prestasi atlet ketika ini sangat bersedia untuk menghadapi sebarang pertandingan.

“Walaupun ada sasaran emas terlepas tetapi kita yakin ada acara-acara lain yang boleh menghadiahkan bonus pingat emas kepada kontinjen Terengganu.

“Sebenarnya kita sudah mendapat bonus emas, antaranya dalam sukan memanah dan basikal lebuhraya (individu),” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini.

Jelas Hishamuddin lagi, berpandukan prestasi itu, beliau yakin kontinjen Terengganu mampu merealisasikan kedudukan yang baik dalam SUKMA kali ini. Samada berjaya untuk misi merampas gelaran juara atau kekal sebagai naib juara masih terlalu awal untuk diperkatakan. Buat masa ini, pihak tuan rumah mendominasi kejayaan merebut pingat emas khususnya melalui acara subjektif.

Katanya lagi, keyakinan itu juga lahir memandangkan sukan-sukan yang menjadi sasaran utama untuk kutipan pingat belum bermula.

“Pertandingan seperti pelayaran, judo dan basikal (BMX) menjadi sasaran kita untuk mengutip emas sebanyak mungkin,” ujarnya.

Bagi memastikan semua berjalan lancar, Hishamuddin menegaskan motivasi atlet perlu dipantau secara berterusan.

“Pihak Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) juga menyediakan pasukan sokongan psikologi kepada atlet yang memerlukan perkhidmatan tersebut, ia bagi memastikan mood serta moral atlet berada pada tahap yang terbaik,” katanya.

Pentas SUKMA merupakan satu platform untuk mencungkil bakat atlet bagi diangkat ke pentas antarabangsa. Ia wajar dihadam oleh semua penggiat sukan. Atlet Terengganu juga telah dimotivasikan untuk melangkah lebih jauh. Malah, peranan atlet itu sendiri sangat penting untuk merealisasikan cita-cita tinggi ini.

Setakat jam 10 malam hari ini, Terengganu berada di kedudukan ketiga dengan mengumpul sebelas emas, sebelas perak dan sebelas gangsa.