KUALA TERENGGANU – Kerajaan Negeri Terengganu terus komited memperkasa pembangunan sukan melalui pelbagai inisiatif di bawah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) demi memastikan kelangsungan prestasi atlet dan kemudahan sukan yang mampan serta inklusif.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurus MSNT yang dipengerusikannya pada Selasa lalu.
Menurutnya, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah meluluskan peruntukan sebanyak RM2 juta bagi tahun ini untuk melaksanakan beberapa projek penting, termasuk menaik taraf Litar Latihan MiniGP dan Pocket Bike, serta pembinaan baharu gelanggang futsal, pickleball dan sukan padel.
“Pembangunan sukan di Terengganu bukan sahaja memberi fokus kepada atlet elit, malah turut merangkumi penyediaan infrastruktur yang memberi manfaat kepada pembangunan akar umbi dan generasi muda,” katanya menerusi satu kenyataan.
Jelas beliau, pihaknya turut membincangkan persediaan awal kontinjen negeri bagi menghadapi Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) dan PARASUKMA Selangor 2026.
Sehubungan itu katanya, sebuah pasukan khas telah ditubuhkan dan segala perancangan akan dikemas kini secara berterusan.
Tambahnya lagi, program sukan berprestasi tinggi bagi atlet Para juga akan dikendalikan oleh MSNT, sebagaimana arahan terkini daripada KBS.
“Walaupun begitu, kerjasama erat bersama Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu (JBSNT) akan terus diperkukuh dalam usaha melahirkan lebih ramai atlet para yang berpotensi.
“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Terengganu, KBS, Majlis Sukan Negara (MSN) dan JBSNT atas sokongan berterusan mereka.
“Kerjasama erat antara kerajaan negeri dan agensi persekutuan amat penting bagi memastikan Terengganu kekal cemerlang dalam bidang sukan dan seterusnya menyumbang kepada kecemerlangan sukan negara,” katanya.