Home Berita PAS Terengganu

Terengganu Terus Didik Rakyat Selami Keindahan Syariat Islam

6
SHARE

BESUT – Kerajaan Terengganu terus mendidik rakyat negeri ini memahami syariat Islam melalui program Karnival Indahnya Hidup Bersyariat yang diadakan di setiap daerah.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, melalui karnival yang diadakan itu ia menjadi kesungguhan kerajaan negeri untuk mendidik rakyat secara berterusan agar memahami bahawa syariat Islam bukanlah bertujuan menyusahkan kehidupan manusia sebaliknya memandu mereka ke arah yang lebih baik.

“Kita hendak mendidik rakyat Terengganu bahawa syariat Islam ini merupakan satu perkara yang indah, penting untuk diamalkan dalam kehidupan kerana ia mudah, senang, diturunkan oleh Allah untuk menyelesaikan masalah yang berlaku dalam anggota masyarakat.

“Ia juga selari dengan dasar dan polisi kerajaan negeri yang meletakkan agenda Islam sebagai perancangan utama dalam pentabiran dan insya-Allah kita akan meneruskan karnival ini di setiap daerah yang lain serta akan disusuli di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN),”ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas hadir merasmikan program karnival Indahnya Hidup Bersyariat, di Masjid Al-Islah & Dewan Terbuka Kampung (Kg) Limbongan, di sini, hari ini.

Mengulas lebih lanjur Dr. Muhammad Khalil berkata pendidikan kepada masyarakat merupakan perkara subjektif yang perlu diusahakan secara berterusan bukan sahaja oleh pihak kerajaan tetapi melibatkan semua pihak termasuk individu, keluarga dan seluruh anggota masyarakat.

“Jadi bila kita buat (karnival Indahnya Hidup Bersyariat) ia akan menjadi satu syiar dalam masyarakat, apabila begitu dengan sendirinya akan dirasai oleh mereka bahawa negeri Terengganu ini penuh dengan program-program yang berlandaskan Islam.

“Bertujuan untuk mendidik rakyat Terengganu ke arah rakyat yang beriman dan berpegang kepada ajaran Islam,”ujarnya.

Dalam pada itu beliau menyeru agar rakyat di negeri ini untuk memberikan sokongan dan hadir beramai-ramai ke Karnival Indahnya Hidup Bersyariat di setiap daerah kerana ia sesuai untuk seluruh lapisan masyarakat sama ada kanak-kanak, wanita dan anak muda.

Pelbagai segmen yang diadakan pada karnival itu antaranya pengisian agama melalui kuliah perdana, forum, Pahlawan Subuh, selain itu adanya pameran dari agensi dan jabatan serta jualan Pasar berkat yang menawarkan segala barang keperluan dengan harga yang rendah serta berpatutan.