Home Berita PAS Terengganu

Terengganu terus bertatakrama julang semangat federalisme

22
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Terengganu akan terus bertatakrama dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan semangat federalisme sentiasa subur walaupun ada halangan-halangan tertentu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan semangat itu akan digarap bersama Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) bagi membolehkan negara bergerak ke depan.

“Pada penggal yang lepas, kita menerapkan pendekatan BPMS ini di peringkat negeri, antaranya dengan memastikan semua rakyat yang layak mendapat bantuan, menerima bantuan tanpa mengira warna politik, kerana mereka semua rakyat di bawah naungan Negeri Terengganu.

“Pandang ke depan, kita akan terus melaksanakan dan mempromosikan pendekatan ini, dalam apa jua urusan di peringkat negeri sehinggalah di peringkat persekutuan.

“Bak kata orang lama-lama esa hilang, dua terbilang (ertinya ; terus berusaha dengan keazaman hingga tercapai cita-cita),” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan di Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Ke-15, di sini, hari ini

Menurut Ahmad Samsuri, semangat federalisme yang termaktub jika disandingkan dengan BPMS, sudah pasti akan memberikan suatu harapan baharu dalam budaya pentadbiran dan politik negara.

“Kita akan terus bertatakrama dan bersikap professional, serta saling hormat-menghormati bidang kuasa yang telah digariskan dalam perlembagaan.

“Kita juga perlu menanamkan dalam diri kita bahawa semua yang kita buat ini adalah untuk kebaikan rakyat, negeri dan negara,” tambah beliau.

Sebelum ini, ada pihak tidak bertanggungjawab mahu peruntukan atau bantuan tertentu tidak disalur ke negeri yang berbeza aliran dengan kerajaan Persekutuan.