Home Berita PAS Terengganu

Terengganu Terokai Peluang Pengajian di Beijing

1
SHARE

BEIJING – Lawatan kerja ke China University of Geosciences Beijing (CUGB) membuka peluang pengajian dan kerjasama strategik antara Terengganu dan salah sebuah universiti terkemuka China yang menempatkan lebih 20,000 pelajar dalam pelbagai bidang, khususnya penyelidikan mineral seperti rare earth elements (REE), silika, bijih dan teknologi bahan bumi.

Mengulas mengenai pertemuan itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato’ Satiful Bahri Mamat, yang mengetuai delegasi tersebut berkata, lawatan berkenaan memberi ruang luas untuk memperkukuh kerjasama akademik dan membuka lebih banyak peluang pengajian bagi pelajar Terengganu.

“Kerjasama ini kita lihat sangat signifikan, bukan sahaja dalam bidang kajian mineral dan sains bumi, malah turut merangkumi pertukaran pelajar, pembangunan penyelidikan serta peluang menghantar anak-anak Terengganu menyambung pengajian di peringkat ijazah dalam bidang yang diperlukan kerajaan negeri,” jelasnya menerusi satu kenyataan di laman sosial miliknya.

Beliau turut memaklumkan, perbincangan awal menunjukkan kesediaan kedua-dua pihak untuk memulakan kerjasama dua hala yang lebih tersusun, termasuk program pertukaran pelajar dan penghantaran pelajar UC TATI ke CUGB.“Kita mahu pastikan pelajar dari UC TATI serta anak-anak Terengganu dapat akses peluang pengajian di CUGB yang terkenal dalam bidang geosains dan teknologi terkini.

“Ini langkah penting bagi menyediakan tenaga mahir selaras dengan hala tuju pembangunan negeri,” tambahnya.

Turut serta dalam sesi lawatan ini ialah Pengarah Yayasan Terengganu, Ahmad Farhan Abdul Wahab, Rektor UC TATI, Hairul Azhar Abdul Rashid, serta Pegawai Kewangan Negeri Terengganu, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham.

Pertemuan rasmi itu dihadiri oleh Presiden CUGB, Prof. Zhao Zhidan, bersama Naib Presiden, Prof. Liu Dameng, serta barisan dekan dan pegawai dari Pejabat Hal Ehwal Antarabangsa universiti tersebut.