Home Berita PAS Terengganu

Terengganu tawar 20 Pakej 3 Hari 2 Malam

84
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (Tourism) menawarkan 20 pakej 3 hari 2 malam kepada pengunjung dari seluruh negeri yang inginkan percutian yang menarik dan perjalanan yang tersusun.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, pakej berkenaan boleh didapati melalui media sosial Beautiful Terengganu yang padat dengan pelbagai info menarik.

“Dulu orang tanya bila datang nak pergi mana? Jadi kita bagi lebih daripada dua puluh pilihan. Ada pakej tiga hari dua malam, satu hari dua malam dan dua hari semalam. Jadi mereka boleh pilih sebenarnya tempat-tempat yang sesuai untuk dilawati.

“Kalau mereka nak pergi Besut ada, Kuala Terengganu ada, Kuala Nerus ada, pulau ada, pantai ada, di pedalaman ada, Kenyir pun ada. Macam-macam pilihan pakej yang ada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada sidang media selepas Majlis Perasmian Terengganu Cultural Festival (TCF) 2021 dan Pelancaran Video 20 Pakej 3 Hari 2 Malam di sini hari ini.

Hadir sama dalam majlis itu, Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Fadhli Yusof Zakaria.

Menurut Ariffin, harga  yang ditawarkan amat berpatutan mengikut pakej dan boleh dirunding.

Dalam perkembangan sama, beliau turut merasmikan TCF yang dianjurkan buat kali kedua.

“Untuk TCF, kita libatkan lima lokasi utama termasuk Kampung Budaya, KTCC mall, Taman Tamadun Islam, Duyong Marina Resort, Paya Bunga Hotel dan juga PB square. Setiap lokasi ada tema-tema yang tertentu kita promosikan.

“Insya-Allah ia akan berlangsung selama 10 hari dan saya jangkakan sambutan yang akan diterima sangat menggalakkan,” katanya.