Home Berita PAS Terengganu

Terengganu Tarik Pelaburan RM3.1 Bilion Melalui ECERDC, Jana Lebih 5,000 Kerja

8
SHARE

KUALA TERENGGANU – Terengganu berjaya merealisasikan pelaburan berjumlah RM3.1 bilion di negeri terbabit melalui Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).

Menteri Besar, Dato Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata daripada jumlah tersebut 98 peratus disumbangkan dalam sektor pembuatan selain sektor pelancongan yang akan mewujudkan sehingga 5,356 peluang pekerjaan serta 102 peluang keusahawanan.

Menurutnya, kerjasama antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan agensi-agensi berkaitan adalah sangat penting untuk menarik pelaburan baharu.

“Projek seperti Projek Pemacu Ekonomi (EAP) memainkan peranan strategik dalam menyelaraskan kementerian, agensi dan sektor swasta, serta membangunkan ekosistem ekonomi yang kukuh.

“Dengan penggunaan rel sebagai pemacu utama pertumbuhan di Pantai Timur, EAP akan merangsang ekonomi setempat dengan meningkatkan trafik penumpang dan barangan di sepanjang Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

“Bandar-bandar kecil seperti Jertih, Dungun dan Kerteh akan menerima manfaat besar daripada peningkatan keterhubungan rangkaian ini,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, Ahmad Samsuri telah mempengerusikan satu Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) di kediaman Seri Iman, baru-baru ini.

Beliau juga berkata usaha tersebut  dijangka akan mengekalkan momentum negeri ke arah menjadi destinasi pelaburan yang kompetitif dan menarik di Malaysia.

Tambahnya lagi, ia  merupakan pencapaian penting bagi mencapai sasaran pelaburan Terengganu sebanyak RM4.2 bilion bagi tahun 2024, sekaligus mengukuhkan pertumbuhan dan pembangunan ekonomi di kawasan ini.