KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri menyerahkan sumbangan berjumlah RM700,000 kepada Pertubuhan bukan kerajaan, Cinta Gaza Malaysia (CGM), baru-baru ini.
Replika cek sumbangan disampaikan oleh Menteri Besar, Dato Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar kepada Ketua Pegawai Eksekutif CGM, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman.
Nadir Al-Nuri berkata sumbangan tersebut merupakan hasil sumbangan agensi di bawah kerajaan negeri dan rakyat Terengganu bagi membantu mengurangkan kesengsaraan yang dialami rakyat Palestin.
“Diam-diam ubi berisi, begitulah perumpamaan selayaknya untuk Kerajaan Negeri Terengganu, walaupun nampak senyap, tenang dan bersahaja tetapi kerja berjalan tanpa banyak bicara.
“Baru kira-kira sebulan kami berjumpa dengan Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, hari ini kami dijemput untuk menerima cek bernilai RM700,000 untuk saudara-saudara kita di Gaza.Terima kasih dan tahniah rakyat Terengganu,” ujarnya dalam satu hantaran di laman facebook rasminya semalam.
Beliau berkata sumbangan itu akan digunakan sebagai permulaan pembangunan Bangunan Apartment Terengganu di Bandar Wakaf Malaysia di Gaza setelah tamat genosid kelak,