Home Berita PAS Terengganu

Terengganu sokong inisiatif STI

5
SHARE

KUALA TERENGGANU, 24 Jun –  Kerajaan Negeri memberi komitmen untuk terus menyokong inisiatif   terhadap pengembangan ekosistem Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) yang mampan, inklusif dan progresif di Terengganu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata kesedaran dan pengetahuan STI bukan sahaja menjadi pemacu kemajuan negara, malah menjadi asas utama dalam pembentukan masyarakat yang berdaya tahan dan berdaya cipta.

Menurutnya, pemilihan Terengganu sebagai tuan rumah bagi lokasi Karnival Minggu Sains Negara 2025 Zon Timur bukan sekadar simbolik atau gimik.

“Ia adalah satu pengiktirafan kepada negeri Terengganu yang kini telah mencapai beberapa kejayaan signifikan dalam mengaplikasi sains dan teknologi dalam pelaksanaan Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) 2030 bagi mewujudkan negeri yang maju, berkat dan sejahtera.

“Komitmen Kerajaan terhadap bidang STI ini adalah dengan penubuhan Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) yang merupakan pusat sains pertama di Zon Timur Semenajung Malaysia dan merupakan ketiga di Malaysia selepas PSN Kuala Lumpur dan Kedah,”ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Perasmian Karnival Minggu Sains Negara 2025 Zon Timur di Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu, di sini hari ini.

Tambah Ahmad Samsuri, program seperti Rehlah Sains hasil kerjasama Pusat Sains Negara (PSN), Yayasan Terengganu dan institusi tahfiz seperti Maahad Tahfiz Al-Quran Terengganu dan Maahad Tahfiz Wal Tarbiyyah Darul Iman telah berjaya dianjurkan pada tahun 2024 dengan penglibatan lebih 1,700 pelajar.

“Ia menunjukkan Rehlah Sains yang bertujuan untuk mendekatkan pelajar sekolah agama dan tahfiz dengan STEM berada pada landasan yang baik dan merupakan satu inisiatif yang tepat,”katanya lagi.

Justeru itu, beliau berkata Kerajaan Negeri menyambut baik inisiatif Program Minggu Sains Negara oleh MOSTI sebagai salah satu inisiatif di dalam payung Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030  yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan STI.