KUALA TERENGGANU – Kerajaan Terengganu tampil memperkukuh pendirian dalam mempertahankan kesucian Islam dengan menyatakan sokongan penuh terhadap fatwa Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) yang melarang umat Islam daripada menghadiri sebarang ritual keagamaan bukan Islam.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi menegaskan keputusan ini dilihat sebagai langkah kritikal dalam memastikan umat Islam kekal berpegang teguh kepada akidah tanpa sebarang pengaruh luar yang boleh mencetuskan kekeliruan atau polemik baharu dalam Masyarakat.
“Kami berdiri teguh bersama fatwa yang dikeluarkan oleh MAINJ.
“Ini bukan sekadar larangan biasa, tetapi satu tuntutan syarak untuk memelihara akidah dan mengelakkan kekeliruan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada hari ini.
Beliau turut menegaskan bahawa Islam adalah agama yang jelas dalam soal batas dan pergaulan antara agama.
“Islam tidak pernah melarang kita untuk hidup dalam suasana harmoni dengan penganut agama lain, tetapi ada batas yang tidak boleh dilanggar.
“Menghadiri ritual agama lain bukan sekadar satu tindakan simbolik, tetapi boleh membawa kepada kekeliruan dan akhirnya menjejaskan keimanan seseorang Muslim,” tegasnya.
Menurut Muhammad Khalil, fatwa ini bukan sahaja berlandaskan prinsip hukum syarak, malah selari dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan.
“Fatwa ini turut mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar sejak Februari 2023, memperkukuh lagi ketetapan ini sebagai garis panduan rasmi yang perlu dipatuhi.
“Kerajaan Negeri menegaskan bahawa garis panduan ini amat penting bagi mengelakkan umat Islam daripada dipengaruhi atau dikelirukan dengan amalan keagamaan lain yang bertentangan dengan prinsip tauhid,” jelas beliau.
Tambah beliau, perkara ini juga telah ditegaskan oleh Mufti Terengganu, Dato’ Dr. Mohamad Sabri Haron bahawa garis panduan bagi umat Islam yang menghadiri acara bukan Islam penting bukan sahaja menjaga seseorang Muslim, tetapi perlu dalam menjaga keharmonian negara.
“Kerajaan Terengganu komited untuk terus memperkukuh dasar-dasar pemerkasaan syariah serta meningkatkan usaha pendidikan dan pemahaman masyarakat mengenai kepentingan menjaga akidah serta syariat Islam.
“Meskipun Islam menggalakkan toleransi dan hubungan harmoni antara kaum, ini tidak bermaksud umat Islam boleh melibatkan diri dalam sebarang bentuk ritual agama lain yang boleh mengaburkan keimanan mereka,” ujarnya.