KUALA TERENGGANU – Peningkatan jumlah kedai francais dan pasar raya di daerah kecil seperti Dungun menjadi petunjuk jelas bahawa Terengganu semakin diyakini sebagai destinasi pelaburan yang berpotensi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Mohd Fadhli Rahimi Zulkifli berkata, kewujudan pelbagai vendor luar di Terengganu menunjukkan keyakinan pihak luar terhadap pembangunan ekonomi negeri itu.
“Saya juga perasan bahawa telah wujud lebih banyak kedai-kedai franchise dari luar. Bahkan bandar sekecil Dungun telah ada pasaraya GIANT, Sushi King, Subway, EMart dan macam-macam vendor luar yang mula bertapak.
“Saya berfikir mungkin inilah masanya negeri ini telah mendapat kepercayaan pihak luar untuk bertapak,” katanya ketika membahaskan titah DYMM Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin sempena istiadat Pembukaan Penggal ketiga DUN ke-15 di Wisma Darul Iman, hari ini.
Menurut beliau, negeri Terengganu turut menikmati pembangunan pesat hasil daripada kekayaan sumber semula jadi yang dimiliki, termasuk dari sektor darat dan lautan.
“Inilah kurniaan Allah kepada negeri Terengganu yang bertuah. Hasil dari darat dan lautan yang menjadi rezeki agar kita bersyukur. Dan kita sendiri dapat melihat Pembangunan yang semakin rancak di negeri ini,” katanya lagi.
Mohd Fadhli turut menyentuh perubahan landskap di kawasannya yang kini menyaksikan pertumbuhan pesat sektor industri.
“Jika ditempat saya, telah tersergam bangunan industri dilaluan utama jalan persekutuan Rantau Abang. Pembangunan seperti ini tentu akan memberi manfaat kepada penduduk sekitar dan Pembangunan tenaga kerja profesional dalam bidang-bidang Baharu kelak,” jelasnya.
Beliau menzahirkan keyakinan bahawa Terengganu sedang berada di landasan tepat menuju status negeri membangun.
“Insya-Allah Terengganu mempunyai masa depan yang cerah dalam menjadikan negeri ini sebagai hab ekonomi yang mampu menarik pelaburan Baharu dalam 5 tahun mendatang,” katanya penuh optimis.