Home Berita PAS Terengganu

Terengganu selaras kenaikan gaji ikut Persekutuan

19
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Terengganu akan mengikut jejak langkah kerajaan Persekutuan untuk menyelaras semula kenaikan gaji kira-kira 14,457 penjawat awam di negeri ini.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, perkara tersebut telah dimaklumkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja dalam satu kenyataan baru-baru ini.

“Sudah ada kenyataan dari Setiausaha Kerajaan Negeri berkaitan peyelarasan gaji dan kita akan follow (ikut) penyelarasan gaji itu, sekarang ini kita sedang berbincang dengan pihak kementerian kewangan tentang langkah selanjutnya,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pelarasan gaji penjawat awan di negeri ini susulan kenaikan gaji yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Program Pelancaran Al-Quran Di Hati yang disempurnakan Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin di Sekolah Kebangsaan Serada, hari ini.

Dalam pada itu katanya, perincian lanjut mengenai penyelarasan gaji bagi penjawat awam berjawatan kontrak akan dimaklumkan kemudian.

“Sebab kita kena tengok kos keseluruhan dan bagaimana perundingan kita dengan pihak kementerian kewangan,” katanya.

Ketika ditanya adakah penyelarasan gaji akan menjejaskan kewangan negeri beliau menafikan perkara tersebut.

“Sekiranya itu (penyelarasan gaji) dimasukkan ke dalam emolumen yang sepatutnya dibayar oleh kerajaan negeri dan diambil oleh wang tunai petroleum sepatutnya tidak ada apa-apa masalah,” jelasnya.

Terdahulu dalam satu kenyataan kepada media, Tengku Seri Bijaya Raja memaklumkan, pihaknya akan mengumumkan kenaikan gaji tersebut berdasarkan pekeliling yang akan dikeluarkan kelak.

Katanya, Terengganu tidak pernah gagal untuk mengikut Pekeliling berkaitan dengan pelarasan gaji kepada penjawat awam.

“Bermula dengan pelarasan gaji daripada Skim Gaji Kabinet kepada Skim Saraan Baru, Skim Saraan Malaysia hinggalah sekarang.

“Cuma kebiasaannya, kerajaan akan memberi pilihan kepada penjawat awam sama ada mahu mengikut skim baharu atau nak kekal skim lama…, jadi kena tengok Pekeliling dahulu,” ujarnya.