SETIU – Terengganu menyasarkan menanam 100 juta pokok dalam tempoh 5 tahun bermula dari 2021 hingga 2025.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja berkata usaha itu merupakan salah satu cara untuk menzahirkan sokongan kepada kempen ‘Road to 1 Million Trees 2023’.
Katanya, mungkin 100 juta itu kedengaran seperti angka yang besar namun bak kata pepatah melayu ‘sikit-sikit lama-lama jadi bukit’.
“Usaha yang mungkin kelihatan kecil pada hari ini akan memberikan impak yang besar pada masa hadapan dan statistik terkini, hampir 59 juta pokok telah pun di tanam di seluruh Malaysia.
“Pelbagai usaha di Peringkat Terengganu dalam mencapai misi tersebut melalui program yang dilaksanakan seperti Penghijauan Malaysia, Kempen Penanaman 100 Juta Pokok dan sebagainya,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika Menyempurnakan Majlis Perasmian RELife bertempat di Ladang Tayor di sini semalam.
Tambah Tengku Seri Bijaya Raja, program RELife yang diadakan pada hari ini bertujuan menekankan kepentingan memelihara dan memulihara ekosistem semulajadi.
“Program ini anjuran bersama TDM Berhad selaku anak syarikat kerajaan negeri Terengganu yang sentiasa berusaha mencari inisiatif untuk menyumbang dan memberi impak positif kepada masyarakat dan kawasan persekitaran,” katanya.
Di samping, usaha ini juga akan membantu mewujudkan kawasan pemuliharaan dan mewujudkan keharmonian biodiversiti di ladang kelapa sawit sekali gus menyokong dan menyumbang kepada inisiatif Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) syarikat.
Beliau berkata, menjaga kelestarian alam sekitar bukan hanya terletak pada bahu sesebuah institusi tertentu sahaja tetapi juga masyarakat secara menyeluruh.
“Melalui program RELife ini, dapat memberikan sumbangan yang besar dalam mengembalikan rimbunan hutan dan mengurangkan kesan pemanasan global,” ujarnya.
Beliau berharap, program ini menjadi titik permulaan untuk memperluaskan program berbentuk pemeliharaan kelestarian alam sekitar dalam usaha memelihara dan memulihara alam sekitar untuk kesejahteraan bersama.