Home Berita PAS Terengganu

Terengganu sasar jadi Hab LNG serantau menjelang 2028

6
SHARE

KUALA TERENGGANU – Terengganu kini berada di landasan untuk muncul sebagai hab gas asli cecair (LNG) utama di rantau Asia Tenggara menjelang tahun 2028, susulan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Kerajaan Negeri dan E&H Energy Sdn Bhd baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi, Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau Negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, kerjasama itu merupakan langkah strategik untuk mengukuhkan ekosistem LNG di negeri ini.

“E&H Energy yang berpengalaman lebih 15 tahun akan menyumbang kepakaran dalam membangunkan infrastruktur seperti terminal regasifikasi dan rangkaian paip.

“Antara peralihan daripada bahan api fosil kepada tenaga hijau, LNG adalah medium paling sesuai ketika ini,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed dalam Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga, Dewan Undangan Negeri Kelima Belas, di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Menurut beliau, projek berimpak tinggi ini kini berada di peringkat rundingan lanjutan bersama agensi Persekutuan, pihak berkuasa tempatan dan Kerajaan Negeri.

“Majlis pertukaran MoU antara pelabur dan Menteri Besar Incorporated (MBI) telah berlangsung pada Februari lalu, termasuk perjanjian pajakan tanah bersama EPIC Berhad.

“Keputusan pelaburan akhir dijangka dimuktamadkan menjelang akhir 2025, manakala tempoh pembinaan dijangka mengambil masa 30 bulan sebelum operasi dimulakan pada suku pertama 2028,” jelasnya.