BESUT – Terengganu menyasarkan untuk menyeimbangkan sumber hasil perikanan negeri dengan 50 peratus daripada sektor akuakultur dan 50 peratus daripada hasil tangkapan laut serta perikanan darat dalam tempoh terdekat.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dato Dr. Azman Ibrahim berkata, langkah itu penting bagi mengurangkan kebergantungan kepada sumber tangkapan yang dijangka semakin berkurangan pada masa hadapan.
“Pada masa ini, nisbah pengeluaran adalah sekitar 40 peratus akuakultur dan 60 peratus tangkapan. Setiap tahun, kita menghasilkan lebih 5,000 metrik tan hasil akuakultur dan tahun ini kita menyasarkan lebih 6,000 metrik tan.
“Fokus sektor air payau termasuk ternakan siakap, kerapu hibrid, udang harimau dan udang putih, manakala sektor air tawar melibatkan ikan baung, patin, tilapia, keli, udang galah dan pelbagai spesies lain,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas merasmikan Seminar Amalan Akuakultur Baik (myGAP) Ke Arah Keterjaminan Makanan Dan Penyerahan Insentif Perikanan di Dewan Auditorium UniSZA, Kampung Tembila, hari ini.
Menurut Azman, kerajaan negeri memberi penekanan bukan sahaja kepada kuantiti, malah kualiti hasil ternakan melalui pensijilan MyGAP yang memerlukan pematuhan lebih 100 senarai semak audit termasuk aspek biosekuriti.
“Penternak yang memiliki pensijilan MyGAP berpeluang menembusi pasaran eksport dan pasar raya ternama. Ia memberi nilai tambah kepada produk negeri.
“Kita juga memastikan rantaian pengeluaran lengkap dari pusat pembenihan, pengeluaran, pemasaran hingga ke peringkat pensijilan. Jika sebelum ini hanya berhenti di tahap pemasaran, kini kita bergerak ke tahap pensijilan,” ujarnya.
Tambah Azman, sehingga kini terdapat 45 pensijilan MyGAP akuakultur di Terengganu, dengan 25 daripadanya di daerah Besut yang menjadi tumpuan bersama Setiu dan beberapa daerah lain.
Mengulas cabaran status tanah penternak, beliau berkata kerajaan negeri telah mewartakan beberapa lokasi sebagai Zon Industri Akuakultur (ZIA) yang diurus secara berpusat di bawah Jawatankuasa Pembangunan Tanah Kekal Pengeluaran Makanan (TPKM).
“Dengan adanya ZIA, pengurusan lebih sistematik, cepat dan mengurangkan kerenah birokrasi. Kita mahu industri akuakultur ini berkembang dengan teknologi terkini serta KPI kualiti yang tinggi,” katanya.
Selain perikanan, jelas beliau, Terengganu turut mencatat pencapaian dalam sektor pertanian dengan 500 hektar sawah padi memperoleh pensijilan MyGAP, sekali gus menjadikan negeri ini antara yang tertinggi di Malaysia.