KUALA TERENGGANU – Kerajaan Negeri menyasarkan satu juta kedatangan pelancong ke Tasik Kenyir tahun depan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata kerajaan negeri akan menambah nilai pelbagai aktiviti termasuk Geo Park Kenyir.
Ini kerana katanya, semua aktiviti dilaksanakan di Tasik Kenyir sekarang berbeza ketika negara menghadapi COVID-19 pada tahun 2020 dan 2021.
“Dulu pelancong takut berkunjung ke Tasik Kenyir secara berkumpulan, sekarang sudah tidak lagi kerana tidak ada lagi halangan untuk pelancong berkunjung ke Tasik Kenyir,” jelasnya ketika ditimeui pemberita di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Walau bagaimanapun katanya, Rumah Bot di Tasik Kenyir masih tidak mencukupi untuk menampung kehadiran pelancong setiap minggu.
Jelasnya perkhidmatan rumah bot itu hanya tertumpu kepada hari cuti mingguan sahaja termasuk hari Jumaat, Sabtu dan Ahad sementara hari lain kedatangan pelancong agak perlahan.
“Kerajaan negeri akan merancang untuk menghidupkan aktiviti di Tasik Kenyir pada hari lain dan ia akan dimulakan tahun depan,” tambah beliau.