Home Berita PAS Terengganu

Terengganu Sambut Baik Jadikan Sabtu Terakhir September Hari Cuci Malaysia

1
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Terengganu menyambut baik pengisytiharan hari Sabtu sebagai Hari Cuci Malaysia yang bertujuan meningkatkan kesedaran rakyat terhadap kebersihan dengan melaksanakan aktivti gotong royong bersepadu yang diadakan serentak seluruh negara.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata,  program tersebut yang dianjurkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah dilaksanakan melalui kerjasama Majlis Bandaraya Kuala Terengganu.

Katanya, Hari Cuci Malaysia yang telah dilaksanakan sempena ‘World Cleanup Day 2025’ telah memasuki tahun kedua pelaksanaannya di seluruh negara.

“Program ini bukan sekadar aktiviti mengutip sampah, tetapi ia adalah manifestasi semangat kesukarelawanan rakyat untuk bersama-sama memelihara kebersihan dan keindahan persekitaran.

“Ia selaras dengan usaha kerajaan negeri yang sentiasa menekankan pentingnya nilai kebersihan, tanggungjawab sosial dan kesedaran sivik dalam kehidupan seharian.

“Kita percaya bandar yang bersih dan indah bukan hanya mencerminkan imej negeri, tetapi turut memberi keselesaan kepada masyarakat serta menarik kehadiran pelancong,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program Hari Cuci Malaysia 2025, Peringkat Negeri Terengganu, di Dataran Batu Buruk, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Wan Sukairi turut menyeru agar semua pihak sama ada agensi kerajaan, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Badan Bukan Kerajaan (NGO), pihak swasta mahupun orang awam terus berganding bahu menjayakan program inisiatif kebersihan.

“Kerana kebersihan ini bukan hanya tanggungjawab kerajaan atau PBT sahaja, tetapi ia merupakan amanah yang perlu dipikul oleh setiap lapisan masyarakat.

“Budaya menjaga kebersihan perlu diamalkan setiap hari dengan memastikan buang sampah di tempatnya, kurangkan penggunaan plastik sekali guna, menyokong kitar semula, sehinggalah menyertai program kesukarelawanan seperti yang kita jayakan pada pagi ini,” ujarnya.