HULU TERENGGANU – Kerajaan Negeri memperuntukkan dana sebanyak RM40,000 bagi melaksanakan kajian penandaan peralatan nelayan darat, langkah proaktif yang dijangka memperkukuh pengurusan sumber dan penguatkuasaan perikanan di perairan darat negeri ini.
Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu, Pang Nyukang berkata, kajian tersebut akan menjadi asas penting kepada pembangunan sistem penandaan yang jelas, sah dan tersusun bagi peralatan yang digunakan oleh nelayan darat.
“Kerajaan Negeri Terengganu telah memperuntukkan sebanyak RM40,000.00 pada tahun 2025 untuk melaksanakan kajian penandaan peralatan nelayan darat.
“Kajian ini akan membolehkan jabatan menentukan kaedah penandaan yang menunjukkan pemilikan peralatan yang digunakan oleh nelayan darat,” katanya dalam Program Pelepasan benih ikan, penyerahan bantuan peralatan dan insentif input akuakultur serta pelancaran kajian penandaan peralatan menangkap ikan nelayan darat bertempat di Sungai Terengganu, Kampung Temir, Hulu Terengganu, baru-baru ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dato’ Dr. Azman Ibrahim; Pengarah Pertanian Negeri, Dr. Sukati Sakka; dan ADUN Telemong, Mohd Zawawi Ismail.
Menurut beliau, kajian itu melibatkan 20 orang nelayan di dua lokasi utama iaitu Sungai Dungun dan Tasik Kenyir, dengan setiap kawasan melibatkan 10 orang peserta. Antara peralatan yang terlibat ialah pukat tahan, rawai, taut dan jala.
“Kajian ini akan dilaksanakan oleh Institut Penyelidikan Perikanan Kampung Acheh, Perak (FRIKA).
“Ia merangkumi penandaan empat jenis peralatan utama yang digunakan oleh nelayan darat di Terengganu,” jelasnya.
Beliau menegaskan bahawa kajian ini bukan sekadar mencatat data, tetapi bertujuan membangunkan sistem pengurusan perikanan darat yang lebih tersusun serta memperkemas urusan lesen dan penguatkuasaan.
“Objektif kajian adalah membangunkan sistem penandaan yang sesuai untuk peralatan perikanan darat.
“Selain menyatakan hak milik, ia juga membantu dalam kawalan eksploitasi sumber dan memudahkan urusan penguatkuasaan di lapangan,” tambah beliau.
Katanya lagi, hasil kajian ini disasarkan untuk membentuk satu sistem rujukan rasmi yang akan mengiktiraf peralatan bertanda milik nelayan tulen, dan menjadi asas kepada sebarang pindaan fi lesen pada masa akan datang.
“Dijangka sekurang-kurangnya nelayan tulen akan mempunyai peralatan yang bertanda rasmi.
“Pihak jabatan juga boleh menjadikan sistem ini sebagai rujukan bagi sebarang pindaan fi lesen peralatan nelayan darat,” ujarnya.