KUALA NERUS, 10 Mac – Terengganu merekodkan peningkatan prestasi produktiviti pekerja yang memberangsangkan sebanyak 3.4 peratus dengan nilai ditambah per pekerja sebanyak RM77,695 berbanding pengembangan 2.8 peratus (RM75,167) pada 2021.
Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata oleh itu semua pihak mempunyai tanggungjawab besar untuk memastikan ekonomi Negeri Terengganu terus kekal pada pertumbuhan positif.
“Pada tahun ini, Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 mengunjurkan pertumbuhan ekonomi Negeri Terengganu berkembang 6.9 peratus.
“Pertumbuhan dijangka akan disumbangkan oleh peningkatan produktiviti antara 4 peratus hingga 5 peratus,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan MyMudah 2024 Peringkat Negeri Terengganu di Hotel Raia di sini hari ini.
Sementara itu, Mohd Zuki berkata kerajaan juga sedang melaksanakan inisiatif mempercepatkan usaha menoktahkan kemiskinan tegar.
Justeru itu katanya, pengenalan Pangkalan Data Utama (PADU) oleh Kementerian Ekonomi memastikan tidak berlaku ketirisan dan bantuan serta subsidi sampai kepada golongan sasaran yang benar-benar memerlukan.
“Di Terengganu, terdapat 8,057 keluarga miskin tegar dan lebih 30 ribu keluarga miskin jadi saya berharap inisiatif-inisiatif yang sedang dilaksanakan akan menoktahkan kemiskinan tegar di Terengganu menjelang akhir tahun ini,”jelas beliau.