Home Berita PAS Terengganu

Terengganu rakam takziah buat mangsa ribut di Libya

12
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Negeri merakamkan ucapan takziah buat Libya dan rakyatnya berikutan kejadian banjir besar yang melanda timur Libya akibat hujan lebat setelah dilanda ‘Ribut Daniel’.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata sehingga kini dilaporkan banjir itu telah mengorbankan sekitar 5,000 orang dengan ribuan lagi dilaporkan hilang.

Katanya, bandar Derna, sebuah bandar pelabuhan di timur Libya hampir musnah akibat banjir besar tersebut.

“Berikutan dua buah empangan pecah setelah hujan lebat dengan angka korban di Derna sahaja telah mencecah lebih 3,000 orang.

“Ia adalah kejadian yang amat menyayat hati buat Libya dan rakyatnya yang mana pada ketika ini kerja-kerja mencari dan menyelamat sedang dijalankan oleh pasukan keselamatan dan penyelamat.

“Dalam usaha untuk mencari mangsa yang masih hilang dan terperangkap akibat banjir besar tersebut,” katanya dalam hantaran di laman Facebook rasmi miliknya pada hari ini.

Tambah Dr Khalil yang juga merupakan Pengerusi Lajnah Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat berharap tragedi tersebut tidak melemahkan atau membantutkan usaha Libya dan rakyatnya.

Tambahnya, dalam mencari titik persamaan untuk mewujudkan keamanan yang berkekalan dan penyatuan ummah yang membawa manfaat buat Libya.

“Semoga Libya dan rakyatnya terus bersabar dan tabah dalam mengharungi tragedi yang amat menyayat hati ini.

“Seterusnya, mampu bangkit kembali menjadi lebih teguh dan kuat dalam mendepani cabaran yang mendatang,” ujarnya.