Home Berita PAS Terengganu

Terengganu pilihan utama pelabur industri tenaga hijau

10
SHARE

HULU TERENGGANU – Syarikat pelaburan utama negeri, Terengganu Inc memberi komitmen kukuh dalam memajukan ekonomi hijau negeri melalui pembangunan solar terapung di Tasik Kenyir.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc, Dato’ Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun berkata Terengganu boleh menjadi pilihan utama pelaburan tenaga hijau di rantau ini.

“Projek-projek ini membuktikan bahawa Terengganu mempunyai potensi untuk menerajui tenaga hijau dan mewujudkan peluang ekonomi baharu untuk rakyat.

“Dengan sokongan daripada Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB), kami yakin Terengganu boleh menjadi peneraju
serantau dalam rantaian nilai hab hidrogen hijau di samping menyokong Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Hala Tuju Teknologi dan Ekonomi Hidrogen (HETR),” katanya kepada pemberita.

Terdahulu, Majlis Peluncuran Pembangunan Solar Terapung Hidro Hibrid dan Hab Hidrogen Hijau telah disempurnakan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Stesen Janakuasa Hidroelektrik Sultan Mahmud di Kenyir.

Tambahnya, sebagai cabang pelaburan negeri, Terengganu Inc akan memastikan projek-projek itu mencapai matlamat yang ditetapkan, di samping membina bakat tempatan dan memindahkan teknologi.

“Ini merupakan peluang terbaik untuk meletakkan Terengganu di pentas dunia sebagai hab tenaga hijau,” ujarnya.