Home Berita PAS Terengganu

Terengganu Peruntuk RM6 Juta Bantu Pelajar Sambung Master, PhD

23
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Negeri terus komited menyokong pendidikan tinggi dengan memperuntukkan dana besar untuk membantu pelajar yang ingin melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana (Master) dan Doktor Falsafah (PhD).

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan Negeri, Dato’ Satiful Bahari Mamat, berkata kerajaan negeri menyediakan RM500,000 setahun khusus untuk pelajar peringkat Sarjana dan PhD.

“Peruntukan ini tidak termasuk peruntukan untuk ijazah pertama,” jelas beliau.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyerahan Cek Cura Bantuan Pengurusan Mengikut Per Kapita Kepada Sekolah Agama Islam Dan Pusat Pendidikan Negeri Terengganu, di Dewan Konvensyen, Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Beliau turut menambah bahawa janji manifesto pilihan raya terdahulu yang menetapkan RM5 juta setahun telah dilaksanakan, dan kerajaan menambah RM1 juta lagi melalui syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri.

“Bermula tahun ini, jumlah keseluruhan dana pendidikan dinaikkan kepada RM6 juta setahun.

“Dengan tambahan ini, kita dapat menyediakan bantuan pendidikan yang lebih meluas dan komprehensif,” katanya.

Selain itu, Yayasan Terengganu masih menyalurkan RM10 juta setahun untuk biasiswa dan pinjaman pendidikan.

“Bantuan ini terbuka kepada semua pelajar yang layak, kecuali anak-anak EXCO dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Terengganu.

“Kita mahu semua yang layak mendapat akses kepada peluang ini, tanpa mengira latar belakang mereka.

“Kerajaan negeri akan terus memastikan pendidikan tinggi kekal menjadi keutamaan, kita percaya, dengan pendidikan, anak-anak Terengganu mampu mencipta kehidupan yang lebih baik,” ujar beliau.