Home Berita PAS Terengganu

Terengganu peruntuk RM450 ribu tambah baik Pasar Payang 1

15
SHARE

KUALA TERENGGANU – Sebanyak RM450,000 dibelanjakan untuk kerja-kerja penambahbaikan kemudahan di Pasar Payang 1 bagi meningkatkan keselesaan peniaga dan pengunjung pasar ikonik itu pada fasa pertama.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato’ Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, antara inisiatif yang sedang dilaksanakan termasuk pembinaan tiga buah tangga baharu serta struktur pelindung (shading) untuk mengurangkan tempias hujan dan panas.

“Kerajaan sentiasa sensitif dengan tuntutan dan cadangan daripada peniaga-peniaga di Pasar Payang 1.

“Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) juga telah meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM750,000 untuk pelaksanaan fasa kedua,” jelasnya.

Beliau berkata demikian semasa sesi penggulungan di Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelima Belas di Wisma Darul Iman, di sini, semalam.

Tambah beliau, langkah tersebut diharap dapat menambah seri Pasar Payang sebagai ikon pelancongan utama di negeri ini serta memudahkan lagi urusan pengunjung.

“Semoga dengan inisiatif daripada MBKT ini dapat menyerikan lagi dan memudahkan kedatangan pelancong ke Pasar Payang ini,” kata Wan Sukairi.