Home Berita PAS Terengganu

Terengganu peroleh RM1.06 juta hasil perlombongan silika

14
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Terengganu memperoleh pendapatan sebanyak RM1.069 juta pada tahun 2024 hasil daripada perlombongan dan perusahaan silika.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman, jumlah tersebut berdasarkan perkiraan kadar lama royalti iaitu sebanyak RM1.50 per metrik tan daripada nilai.

“Untuk tahun 2025 ini, kita telah meluluskan kadar baharu royalti iaitu sebanyak lima peratus daripada nilai jualan atau sekitar RM4.00 per metrik tan. Dengan pertambahan royalti ini, insya-Allah akan meningkatkan jumlah kepada RM6.529 juta.

“Perkiraan kadar tersebut masih dalam peringkat rundingan antara pemegang lesen, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Negeri Terengganu bersama Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Malaysia Terengganu untuk dimuktamadkan.

“Ini kerana, apabila kita lontarkan suatu angka pihak pemain industri ini mengatakan ia agak tinggi. Cuma, menerusi perbincangan yang diadakan walaupn kita melihat permintaan di peringkat dunia agak menurun, tetapi permintaannya masih ada,” katanya ketika berucap dalam sesi penggulungan di Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelima Belas di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.

Jelasnya, dianggarkan kutipan hasil keseluruhan boleh mencapai RM7.5 juta dan hasil tersebut diperoleh melalui pemajak yang telah diberi kelulusan iaitu PMINT-PERMINT GRANITE Sdn Bhd di Bukit Senyamok, Mukim abang Dungun dan Terengganu Silika Consortium, anak syarikat Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT) di Darat Bari, Setiu.

“Dalam pada itu, keberkesanan penguatkuasaan bagi memastikan hasil yang sepatutnya dibayar kepada Kerajaan Negeri oleh pengusaha silika bergantung kepada beberapa faktor yang melibatkan tindakan penguatkuasaan, pemantuan dan kesediaan pengusaha untuk mematuhi peraturan.

“Kita mendapat maklum balas daripada Pejabat PTG bahawa mereka kekurangan kakitangan  dan memohon kerajaan mempertimbangkan untuk melengkapkan kakitangan tersebut,” katanya yang menekankan pemantauan terhadap pengusaha silika bagi memastikan mereka memenuhi setiap syarat- syarat kelulusan yang telah ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Negeri.

Dalam pada itu, Nurkhuzaini turut menjawab celahan ADUN Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili yang mencadangkan penglibatan kerajaan negeri secara langsung dalam industri berkenaan supaya mampu menjana kutipan hasil lebih tinggi.

“Kita telah pun mengambil langkah-langkah ke arah itu. Kerjasama kita dengan pihak Terengganu Silika (Consortium) dan sekarang ini untuk makluman dewan, Terengganu Silika membuka ruang untuk kita turut serta secara langsung.

“Begitu juga dengan kaedah terbaru ini, kita mengambil pendekatan untuk pihak kerajaan melalui anak syarikat berkaitan untuk terlibat sama dalam pengeluaran dan insya-Allah akan berlaku di sebelah Terengganu Utara dalam masa terdekat ini,” ujarnya.