Home Berita PAS Terengganu

Terengganu perkenal biasiswa khusus buat pelajar B40

277
SHARE

PUTRAJAYA – Kerajaan negeri menerusi Yayasan Terengganu (YT) dan Terengganu Incorporated (Terengganu Inc) memperkenalkan biasiswa khusus untuk pelajar cemerlang keluarga B40 bagi membolehkan golongan terbabit melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi tanpa bebanan kewangan.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, program biasiswa YT-TI Young Talent Scholarship Programme tersebut direalisasikan menerusi anak-anak syarikat Kumpulan Terengganu Inc dengan peruntukan sebanyak RM500,000.

Katanya, program itu dijangka akan bermula dengan permohonan atas talian pada 26 September ini buat lepasan STPM, STAM, Matrikulasi dan Asasi mengikut terma dan syarat yang telah ditetapkan.

“Kerajaan Negeri menyedari cabaran dihadapi ibu bapa bagi melanjutkan pelajaran anak-anak mereka iaitu kos pendidikan pengajian yang tinggi. Oleh itu, biasiswa ini dibentuk dan merangkumi pelbagai kos pendidikan seperti yuran pengajian, elaun sara hidup, elaun peralatan dan buku serta pemberian peranti IPad.

“Bagi manfaat jangka panjang, tajaan tersebut berperanan untuk pembangunan modal insan dengan bakal melahirkan golongan professional dan mengisi jurang pekerjaan di Terengganu, pada masa akan datang.

“Ini adalah kali pertama anak syarikat kerajaan negeri dan YT bekerjasama memberi biasiswa buat pelajar cemerlang, peruntukan ini adalah untuk permulaan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Terengganu Inc  memeterai memorandum perjanjian (MoA) dengan YT di Le Meridien, Putrajaya hari ini.

Sementara itu, Presiden dan Pengarah Eksekutif Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun berkata, biasiswa peringkat pengajian Ijazah Sarjana Muda (Ijazah pertama) berkenaan dibentuk bagi memastikan anak Terengganu yang berkelayakan dapat melanjutkan pelajaran di dalam dan luar negara.

“Biasiswa khas tersebut juga mampu mengurangkan beban kewangan bagi para pelajar yang mengambil jurusan releven seperti bidang Kepintaran Buatan (AI), Sains Data (Big Data), Undang-undang, Muamalat, Sains Kesihatan (Fisioterapi), Pengurusan Korporat dan Perladangan.

“Langkah ini direalisasikan dengan komitmen anak-anak syarikat Kumpulan antaranya TDM Berhad, Golden Pharos Berhad, GPQ Sdn Bhd, Tl Properties Sdn Bhd, Chicken Cottage Limited serta Permodalan Terengganu Berhad,” katanya.

MoA itu ditandatangani oleh Presiden dan Pengarah Eksekutif Terengganu Inc, Burhanudin Hilmi Mohamed @ Harun; Pengarah Eksekutif TDM Berhad, Najman Kamaruddin; Ketua Pegawai Eksekutif Golden Pharos Berhad, Dr. Mohd Zaki Hamzah; Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif GPQ Sdn Bhd, Azmi Mat Ali; Ketua Pegawai Eksekutif TI Properties, Khalilzan Mahmud dan Pengarah Permodalan Terengganu Berhad, Muhammad Ramizu Mustafa yang mewakili Terengganu Inc.

Manakala, Yayasan Terengganu diwakili oleh Pengarahnya, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham sambil disaksikan oleh  Ahmad Samsuri, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Dato’ Satiful Bahri Mamat dan Setiausaha Kerajaan Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja.