Home Berita PAS Terengganu

Terengganu pastikan Industri CCUS untungkan rakyat, negeri

5
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Negeri Terengganu memberi jaminan bahawa pelaksanaan industri penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) akan dirangka agar memberi pulangan ekonomi kepada rakyat dan kerajaan negeri.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, walaupun pembangunan CCUS merupakan inisiatif nasional yang digerakkan bersama dengan kerajaan Persekutuan (PETRONAS), Terengganu akan memastikan kedudukannya sebagai lokasi strategik dalam industri ini dimanfaatkan sepenuhnya untuk faedah tempatan.

“Kita sedang berbincang dengan PETRONAS dan GLC negeri untuk melihat bagaimana pelaksanaan CCUS ini boleh direalisasikan dengan manfaat maksimum kepada Terengganu, bukan sekadar menjadi tuan rumah kepada penyimpanan karbon,” katanya kepada media selepas merasmikan Persidangan East Coast Energy (ECE) 2025 di Taman Tamadun Islam, kelmarin.

Beliau menegaskan bahawa segala inisiatif CCUS yang akan dijalankan perlu memberi pulangan dalam bentuk hasil negeri, pembangunan kapasiti sumber manusia serta peluang kepada syarikat tempatan agar rakyat tidak sekadar menjadi pemerhati.

“Kita mahu CCUS dilaksanakan secara menyeluruh, berdaya tahan dan inklusif. Terengganu tidak boleh dikesampingkan daripada mendapat pulangan sewajarnya,” tegasnya.

Tambah beliau, kelulusan Rang Undang-Undang CCUS 2025 oleh Parlimen pada Mac lalu membuka jalan kepada pertumbuhan industri baharu yang dapat menjana pelaburan dan peluang pekerjaan.

Namun ujarnya, kerajaan negeri akan memastikan pelaksanaan di peringkat negeri berlangsung secara terancang dan memberi kesan positif kepada ekonomi rakyat.

Persidangan ECE 2025 yang berlangsung selama dua hari itu dirasmikan oleh Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan.

Ia menghimpunkan pemain industri tenaga serantau bagi membincangkan masa depan sektor minyak, gas dan tenaga boleh baharu, termasuk potensi besar industri CCUS di Pantai Timur.