Home Berita PAS Terengganu

Terengganu pantau rapat proses pemulihan pelajar UPSI

11
SHARE

IPOH – Kerajaan Terengganu terus memantau rapat perkembangan pemulihan mangsa kemalangan bas pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi memastikan mereka menerima rawatan terbaik dan kembali pulih sepenuhnya.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang turun padang menziarahi mangsa di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh dan Hospital Taiping hari ini memaklumkan bahawa tiga pelajar masih dirawat di hospital.

Katanya ia membabitkan dua pelajar di HRPB, Ipoh dan seorang lagi di Taiping.

“Alhamdulillah, saya berkesempatan bertemu dengan mangsa dan meninjau sendiri keadaan mereka. Kita akan terus ikuti perkembangan dan pastikan tiada yang terabai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas menziarahi mangsa di sini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jerteh, Dr. Riduan Mohd Nor, ADUN Rantau Abang, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli dan ADUN Ladang, Zuraida Md Nor.

Jelas Ahmad Samsuri, sejak hari pertama kejadian, Kerajaan Negeri telah bekerjasama dengan pihak berautoriti seperti Kementerian Kesihatan, hospital, UPSI dan agensi berkaitan dalam menyelaras bantuan perubatan serta sokongan kepada keluarga mangsa.

Menurut beliau, beberapa pelajar mengalami kecederaan serius termasuk patah tulang dan masih memerlukan rawatan susulan serta pembedahan yang dijalankan secara berperingkat.

“Proses pemulihan akan ambil masa. Ada yang akan menjalani pembedahan dalam tempoh terdekat, sama ada di sini atau setelah dipindahkan ke hospital di Terengganu,” jelasnya.

Ujar Ahmad Samsuri, pihak negeri kini sedang menyelaras keperluan dan pengurusan rawatan lanjutan bagi memastikan pelajar terbabit menerima rawatan menyeluruh tanpa gangguan.

Mengulas mengenai kos perubatan, beliau menegaskan bahawa Kerajaan Negeri akan menanggung sepenuhnya kos rawatan termasuk pembedahan bagi mangsa yang tidak dilindungi insurans atau tidak menerima bantuan lain.

“Kita tak mahu bebankan keluarga mangsa. Fokus mereka hanya pada kesihatan anak-anak. Bagi yang perlukan bantuan kaunseling atau sokongan lain, kerajaan juga akan bantu uruskan,” katanya.

Beliau turut menyeru agar keluarga mangsa sentiasa berhubung dengan pegawai kerajaan atau wakil rakyat di kawasan masing-masing untuk sebarang keperluan susulan.