KUALA TERENGGANU – Terengganu menjadi antara lima negeri terawal yang menubuhkan Majlis Halal Terengganu (MHT) sebagai langkah memperkukuh sektor itu ke arah pembangunan progresif dan mampan.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dato’ Ariffin Deraman berkata, MHT yang dipengerusikan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar kini hanya menunggu kelulusan rasmi Mesyuarat Exco.
Menurutnya, MHT mampu bertindak sebagai ejen dalam melancarkan sebarang urus tadbir dan proses persijilan halal bagi produk dan industri di negeri ini.
“MHT sebenarnya dah ditubuhkan malah sudah beberapa kali mengadakan mesyuarat serta memiliki pelan strategik sendiri.
“Bagaimanapun, beberapa perkara masih memerlukan kelulusan Mesyuarat Exco dan Menteri Besar sebelum dapat dimuktamadkan sepenuhnya secara rasmi,” katanya.
Beliau berkata demikian di sidang media selepas Majlis Perasmian Penutup Program Kesedaran Halal Negeri Terengganu 2025 dan majlis penyerahan surat tawaran pembiayaan Tabung Usahawan Terengganu Sejahtera (TUGAS) kepada peminjam kali ke 2/2025 di Dewan Serbaguna YPU, di sini semalam.
Menurut Ariffin, MHT akan membantu memperkasa penyelarasan pensijilan Halal Malaysia bersama antara JAKIM dengan JHEAT selaku badan berautoriti utama dalam pengurusan halal negeri termasuk menjadi pusat rujukan, pengiktirafan, penarafan dan khidmat nasihat berkaitan pensijilan halal.
“Tanggungjawab bagi meningkatkan bilangan pengusaha halal akan diperkasa melalui Majlis Halal Terengganu. Yayasan Pembangunan Usahawan pula menjadi pusat sehenti bagi pusat rujukan halal di Terengganu
“Kerajaan negeri turut mengalu-alukan semua industri agar mendapatkan sijil halal bagi memastikan masyarakat mendapat perkhidmatan atau produk yang terjamin,” ujarnya lagi.
Selain itu, kerajaan negeri juga sedang merancang pembinaan Hab Halal atau Halal Park yang lebih terancang bagi menyokong pembangunan industri berkenaan.
“Ketika ini, kita sudah ada kawasan halal berskala kecil di belakang Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang menempatkan 24 rumah kedai, selain kawasan di Chendering. Namun, kedua-duanya memerlukan penambahbaikan,” katanya.
Menurut beliau, kerajaan negeri sedang mengenal pasti beberapa lokasi baharu termasuk di kawasan Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) stesen keretapi untuk dibangunkan sebagai Hab Halal.
“Tanah yang dikenal pasti akan diangkat kepada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bagi tujuan pembangunan dan pensijilan halal,” katanya.