Home Berita PAS Terengganu

Terengganu lancar Skim Beli Motosikal tanpa caj tambahan

10
SHARE

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) memperuntukkan sebanyak RM844,000 di bawah Skim Pinjaman Pembiayaan Motosikal tanpa ‘interest’ bagi membantu rakyat kurang berkemampuan memiliki kenderaan untuk tujuan perniagaan dan pekerjaan.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dato’ Ariffin Deraman berkata, inisiatif itu dilaksanakan bagi mengurangkan beban kewangan individu yang menjadikan motosikal sebagai alat utama dalam operasi harian mereka.

Menurutnya, skim tersebut dijangka memberi manfaat kepada 160 orang di seluruh 32 Dewan Undangan Negeri (DUN), dengan lima penerima akan dikenal pasti di setiap kawasan.

“Penyelaras DUN akan memilih lima usahawan berkelayakan di kawasan masing-masing, mengesahkan latar belakang mereka, dan memastikan pemohon memenuhi semua syarat yang ditetapkan di bawah Skim Pinjaman Pembiayaan Motosikal.

“Golongan sasaran skim ini merangkumi pekerja sektor gig seperti penghantar makanan, kurier, dan mereka yang terlibat dalam perkhidmatan e-dagang, selain individu yang baru memulakan perniagaan kecil dan memerlukan motosikal sebagai modal utama,” katanya.

Ariffin menambah, bantuan berkenaan bukan sahaja berperanan meningkatkan peluang menjana pendapatan, tetapi turut menggalakkan pertumbuhan ekonomi negeri melalui perkembangan perniagaan mikro dan kecil.

“Dengan kemudahan motosikal, para usahawan berpeluang meluaskan pasaran, menyertai perkhidmatan penghantaran seperti e-hailing atau delivery, serta mengurus operasi harian dengan lebih efisien sekali gus membuka ruang kepada pendapatan yang lebih stabil dan berterusan,” ujarnya.