KUALA TERENGGANU – Terengganu akan setanding dengan negara-negara Eropah apabila merancang untuk melaksanakan sistem E-Invoice bagi cukai menjelang 2026.
Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau, Mohd Nur Khuzaini Ab Rahman berkata, langkah proaktif itu juga akan mengoptimumkan hasil pendapatan negeri.
“Alhamdulillah, perbincangan awal mengenai pelaksanaan E-Invoice di Negeri Terengganu telah memberikan gambaran yang jelas dan positif.
“Ini adalah langkah proaktif yang perlu diteruskan oleh pihak kerajaan untuk meningkatkan hasil negeri,” ujarnya dalam satu kenyataan di facebooknya, di sini, baru-baru ini.
Tambah Khuzaini dengan pelaksanaan E-Invoice itu juga Terengganu akan berpeluang bukan sahaja berupaya mengoptimumkan kutipan cukai malah akan turut memperbaiki sistem pengurusan kewangan.
“Ini menunjukkan bahawa kita berada di landasan yang tepat untuk mengikuti arus kemajuan global,” katanya.