KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri terus komited memulihara seni warisan tradisional seperti gamelan dan rodat agar tidak lenyap ditelan zaman.
Setiausaha Kerajaan Negeri,
Tengku Seri Bijaya Raja berkata, kerajaan negeri melalui Jabatan Pelancongan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan, melaksanakan inisiatif penting bagi memastikan seni warisan ini sentiasa diarus zaman dan diwarisi generasi muda.
“Jabatan Pelancongan dan juga Pendidikan berusaha bagi pinjam alat gamelan berharga RM25, 000 hingga RM30, 000 satu set kepada empat sekolah yang terpilih untuk mereka mempelopori seni gamelan.
“Sebagai satu usaha di peringkat negeri untuk kita lihat seni warisan gamelan tidak hilang,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas program Memorandum Persefahaman (MoU) Peminjam Alat Muzik Gamelan Melayu antara Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu dan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu di Dewan Jamuan, Tingkat 18, Wisma Darul Iman, pada semalam.
Tambah beliau, inisiatif itu bertujuan memperkenalkan dan memperluaskan seni gamelan dalam kalangan pelajar, selain memastikan seni tradisional tersebut terus dipelihara.
“Inilah usaha daripada kerajaan negeri di mana kita bukan sahaja memberikan peralatan, tetapi juga akan membimbing pemuzik-pemuzik gamelan.
“Pada masa yang sama, kita ingin menghidupkan kembali tarian gamelan itu sendiri, yang saya kira, jika tidak diusahakan sekarang, suatu hari nanti seni tersebut mungkin akan lenyap begitu sahaja,” ujarnya.
Katanya lagi, terdahulu beberapa sekolah telah menerima bantuan dalam bentuk tenaga pengajar sahaja, namun kali ini kerajaan negeri memberi pinjaman peralatan, dan ia merupakan kali pertama peralatan tersebut diberikan kepada empat buah sekolah terpilih.
“Sebenarnya usaha ini kita buat dua tahun lepas cuma untuk perolehan alatan kena cari sampai ke Indonesia, makan masa sikit untuk tempahan.
“Kita tidak mampu memberikan peralatan kepada semua sekolah, jadi kami mengharapkan kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Daerah dan pengetua sekolah untuk memanfaatkan peralatan yang ada di sekolah-sekolah terpilih.
“Sekolah-sekolah berdekatan boleh mengambil peluang seterusnya akan membantu mengembangkan seni gamelan di sekolah-sekolah lain,” katanya.
Justeru itu, beliau berharap produk seni gamelan dan rodat ini dipulihara agar ia tidak pupuk ditelan dek zaman.
“Insya Allah kalau kita ada peruntukan lagi mungkin boleh tambah lagi.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Pendidikan melalui Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman, yang difahamkan sedang giat menghidupkan semula seni rodat dan merupakan antara sekolah yang memulakan inisiatif ini,” tambahnya.