Home Berita PAS Terengganu

Terengganu kembali ‘Bah’, 739 mangsa di lapan PPS di Kemaman

28
SHARE

KUALA TERENGGANU – Terengganu kembali dilanda banjir gelombang kedua susulan hujan berterusan sejak semalam yang menyaksikan lapan pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di daerah Kemaman.

Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, seramai 739 mangsa daripada 189 keluarga berada di lapan PPS di daerah berkenaan.

“Sekolah Kebangsaan (SK) Kemasik mencatatkan mangsa paling tinggi setakat pagi ini yang menempatkan 264 mangsa dari 76 keluarga yang diikuti dengan Dewan Sivik Pengkalan Cicar Bukit Kuang dengan 149 mangsa dari 34 keluarga.

“Di PPS Balai Raya Meraga Beris pula menempatkan 98 mangsa daripada 24 keluarga dan 79 mangsa daripada 20 keluarga kini berada di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Banggol,”ujarnya.

Sementara itu, di Balai Raya Beris Nenas pula mempunyai 67 mangsa daripada 15 keluarga manakala 55 mangsa daripada 15 keluarga berada di PPS SK Pengkalan Ranggon.

“Seramai 19 mangsa daripada empat keluarga sudah mula berpindah ke PPS SK Kampung Baru Kerteh manakala lapan sekeluarga pula berada di PPS Balai Raya Kampung Gelugor,” tambahnya.

Jumlah mangsa banjir kembali menunjukkan peningkatan setakat 8 pagi Selasa susulan amaran hujan lebat berterusan yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hingga Rabu ini.

Setakat ini, hujan melanda di kebanyakan kawasan di Terengganu.

Terdahulu, banjir gelombang pertama yang melanda Terengganu sejak 23 November lepas  pulih selepas semua pusat pemindahan sementara (PPS) yang beroperasi sebelum ini, ditutup pada 6 Disember baru-baru ini.