Home Berita PAS Terengganu

Terengganu Juara Bertahan KESSUMA 2024

20
SHARE

KUALA NERUS – Kontinjen  Terengganu terus mengungguli  Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah Menengah Agama Malaysia (KESSUMA) Peringkat Kebangsaan kali ke-23 tahun 2024 apabila dinobatkan juara keseluruhan sekaligus mengekalkan kemenangan untuk dua tahun berturut-turut.

KESSUMA yang berlangsung mulai  19 hingga 22 Ogos 2024 di Universiti Malaysia Terengganu dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA),  menyaksikan penyertaan dari 12 negeri dengan keseluruhan kontinjen melebihi 2,200 peserta

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan, Datuk Satiful Bahari Mamat berkata, kerajaan negeri berpuas hati atas kecemerlangan yang dipamerkan oleh peserta kontijen dan kejayaan yang telah diraih pada kali ini.

“Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada tuan-tuan dan puan-puan sekalian, di semua peringkat bermula dari peringkat sekolah, daerah, negeri sehinggalah di peringkat kebangsaan atas kejayaan penganjuran KESSUMA.

“Tahniah kepada tuan rumah kerana menjuarai KESSUMA kali ini dengan tiga pingat emas, satu perak dan empat gangsa sekaligus melakar kejayaan dalam mempertahankan kejuaraan dua tahun secara berturut-turut  dan berharap meneruskannya untuk tahun depan di Kedah,”ujarnya kepada pemberita.

KESSUMA merupakan aktiviti tahunan bagi pelajar Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) dan Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) serta Sekolah Menengah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) yang bernaung di bawah Jawatankuasa Penyelarasan Pendidikan Islam Kebangsaan (JPPIK).