JOHOR BAHRU – Johor dan Terengganu terus membuktikan bahawa perbezaan politik bukan penghalang untuk memperkukuhkan pentadbiran Islam serta memperkasakan bangsa Melayu.
Kunjungan balas Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri Terengganu, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi ke Johor kelmarin membuka lembaran baharu dalam kerjasama strategik antara kedua-dua negeri.
Dr. Muhammad Khalil berkata, lawatan itu adalah sebagai tanda penghormatan serta kesinambungan daripada kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid, ke Terengganu sebelum ini.
“Alhamdulillah, perbincangan yang diadakan berlangsung dalam suasana harmoni dan amat membuahkan hasil.
“Kami menelusuri pelbagai aspek penting dalam pentadbiran Islam, bertukar pandangan serta merangka strategi bersama demi memartabatkan syiar Islam di kedua-dua negeri,” ujarnya.
Menurut Muhammad Khalil, perbincangan berlangsung dalam suasana penuh keterbukaan, membolehkan pertukaran idea bernas yang berpotensi mencetuskan inisiatif baharu bagi memastikan pentadbiran Islam lebih efisien, progresif dan inklusif.
Katanya, lebih menarik, meskipun Johor dan Terengganu mempunyai perbezaan politik, ia sama sekali tidak menjadi penghalang bagi kedua-dua negeri untuk mencari titik persamaan dalam usaha memperkasakan agama dan bangsa.
“Yang lebih utama ialah kesatuan ummah dan kelangsungan martabat Islam serta Melayu.
“Politik hanyalah wadah, sedangkan matlamat kita jauh lebih besar, memastikan Islam terus mekar dan kekal sebagai tunjang kehidupan umat,” tambah beliau.
Dalam nada penuh penghargaan, beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Mohd Fared atas sambutan mesra serta keakraban yang terjalin sepanjang perbincangan berlangsung.
“Saya amat berbesar hati dengan penerimaan dan keterbukaan pihak Johor.
“Semoga jalinan ukhuwah ini terus subur dan menjadi model kerjasama strategik yang boleh dicontohi oleh negeri-negeri lain dalam memperkukuhkan perpaduan Islam dan memperjuangkan kepentingan ummah,” ujarnya.