Home Berita PAS Terengganu

Terengganu jangka wujudkan hingga 3,000 peluang kerja sektor tenaga hijau

6
SHARE

KUALA TERENGGANU – Terengganu menyasarkan penciptaan antara 2,000 hingga 3,000 peluang pekerjaan baharu dalam sektor tenaga hijau menjelang 2030 menerusi pelaksanaan pelan Terengganu New Economy Transformation (T-Next).

Mantan Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Strategic and Integrity Institute (TSIS), Prof. Madya Dr. Mohd Hanif Yaacob berkata, potensi sektor tenaga hijau jauh melangkaui penghasilan tenaga semata-mata, dengan rantaian pertengahan (midstream) dijangka menjadi pemacu utama pembukaan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.

“Kalau hanya menjual tenaga elektrik kepada grid, peluang pekerjaan yang diwujudkan sangat kecil, satu ladang solar mungkin hanya memerlukan tiga hingga empat orang pekerja. Tetapi apabila kita kembangkan kepada ‘midstream’ tenaga hijau dan sektor berkaitan lain, unjuran kita menunjukkan sehingga 2,000 hingga 3,000 pekerjaan baharu dapat diwujudkan menjelang 2030,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI), semalam, yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman, serta Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Dato’ Rosli Latif.

Menurut Dr. Mohd Hanif, peralihan kepada tenaga hijau bukan sahaja menyumbang kepada kelestarian alam sekitar, malah memberi kesan rantaian nilai yang mampu memacu pertumbuhan ekonomi negeri.

“Langkah ini juga akan membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada rakyat tempatan, khususnya generasi muda,” katanya.

Beliau menjelaskan, walaupun peluang pekerjaan tersebut belum ketara pada masa ini, ia dijangka mula dirasai dalam tempoh dua tahun lagi apabila infrastruktur utama siap dibangunkan.

“Sekarang rakyat belum nampak kerana kita sedang membina infrastrukturnya. Dalam dua tahun, kita percaya peluang itu akan mula jelas. Malah, kita sudah berbincang dengan MIDA supaya projek-projek tenaga di Terengganu mewajibkan sekurang-kurangnya 70 peratus tenaga kerja diambil daripada rakyat negeri ini,” ujarnya.